Setiausaha Agung Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), Datuk Seri Windsor John, mengesahkan Kedah Darul Aman (KDA FC) dan Sri Pahang (SRP) adalah dua pasukan yang gagal mendapatkan pelesenan daripada badan induk berkenaan.

Menurut Windsor, 7 pasukan Liga Malaysia yang telah lulus pelesenan AFC pada musim 2024/25 ialah Johor Darul Ta’zim (JDT), Selangor, Sabah, Terengganu, Kuala Lumpur City, Penang serta Perak.

Baca Juga:

“Kita sudah mendapat kepastian JDT dan Selangor telah mendapat lesen untuk beraksi di peringkat Asia.

“Kami sudah dimaklumkan daripada sembilan kelab yang membuat permohonan, hanya tujuh yang diluluskan. Hanya Kedah dan Sri Pahang tidak diluluskan,” kata Windosr di Nadi Arena.

Pelesenan ini penting sebagai syarat untuk membolehkan mereka menyertai pertandingan peringkat kelab Asia anjuran AFC.

JDT dan Selangor akan mewakili Malaysia dalam saingan peringkat Asia musim ini. JDT yang dikendalikan oleh Hector Bidoglio akan beraksi di AFC Champions League Elite (ACLE) manakala Selangor bertanding di AFC Champions League Two (ACL 2).

Dalam usaha pasukan diberikan lesen, mereka harus dinilai dan mematuhi enam kriteria utama, iaitu: Sporting, Infrastruktur, Personal & Pentadbiran, Undang-undang, Kewangan dan Perniagaan yang dinyatakan dalam Peraturan Pelesenan MFL.

Lesen AFC dan kebangsaan yang diberikan hanya berlaku untuk satu musim, jika ada kelab yang didapati melanggar artikel yang terdapat dalam Peraturan Pelesenan MFL atau atau mana-mana syarat untuk pengeluaran lesen tidak lagi dipenuhi, lesen mereka boleh ditarik balik.