Pada usia 37 tahun, Jamie Vardy masih mempunyai kualiti baik untuk mengemudi jentera serangan Leicester City dalam kempen English Premier League (EPL) 2024/25.

Selepas mengharungi sembilan perlawanan, Vardy sudah meledakkan empat jaringan dan sentiasa menjadi pilihan utama pengurus pasukan, Steve Cooper di kesebelasan utama.

Baca Juga:

Masih mampu beraksi baik pada usia sebegitu, sudah pasti ada diet serta rutin harian dilakukan oleh Vardy bagi memastikan kecergasannya dapat dikekalkan.

Menurut sumber laporan Sport Bible, bekas penyerang skuad kebangsaan England itu merupakan seorang yang ‘menggilakan’ kafein.

“Saya bangun pagi dan akan terus minum Red Bull,” ujar Vardy mendedahkan tentang rutinnya setiap pagi.

“Saya betul-betul bangun dari katil, bangunkan anak-anak dan bawa mereka turun, siapkan sarapan mereka dan kemudian saya terus mencari Red Bull.”

“Selepas itu, kami (skuad Leicester City) akan berkumpul di stadium untuk pra-perlawanan dan semasa saya sedang bersiap, saya akan minum kopi – ia lebih baik daripada mengambil ProPlus.”

“[Minum) Red Bull, kopi dan kemudian apabila kami sampai ke ruang pra-perlawanan, saya akan makan omelet keju dan ham dengan satu lagi tin Red Bull.”

“Saya rasa setelah melakukan ini selama bertahun-tahun, tubuh saya sudah biasa, ia bukan masalah langsung, ini adalah salah satu perkara yang mungkin tidak sesuai untuk semua orang.”

“Sejujurnya, saya mungkin sudah mengurangkannya kerana sekarang saya hanya minum tin kecil Red Bull berbanding dahulu, ketika saya di Fleetwood, saya biasa minum tin besar Monster – saya biasanya minum dua tin sekali gus,” tambah Jamie Vardy lagi.

Sumber