Nota Editor: Pengalaman kembara ini telah dikongsikan oleh Saya Reez yang telah mengembara solo ke China selama beberapa minggu baru-baru ini. Ianya berkisar tentang salah satu daripada pengalaman beliau mengunjungi sebuah kampung di Daerah Yunnan, China yang masih mengamalkan perkahwinan tradisi yang unik. Ikuti perkongsian beliau di bawah.

Pagi di Tasik Lugu yang basah dek hujan mencurah.
Kawasan ini didiami majoriti oleh masyarakat Musuo. Mereka masih mengekalkan tradisi ‘Matriarchal Marriage’ yang dinamai ‘Visiting Marriage’.
Dalam sistem ini, tiada ikatan perkahwinan rasmi dimeteri sebaliknya lelaki dan wanita boleh berada dalam “ikatan” perkahwinan selama mana mereka mahu.
Dan mereka juga boleh melepaskan “ikatan” tersebut apabila sudah tidak diperlukan.
Ada bacaan di internet menyebut, pasangan tersebut tidak tinggal bersama di bawah satu bumbung walau sudah “berkahwin”.
Si lelaki akan datang ke rumah si wanita pada malamnya dan pulang semula ke rumahnya keesokan pagi.
Jika anak terhasil daripada perhubungan ini, ia akan dijaga dan dibesarkan oleh si wanita. Dalam tradisi ini, wanita adalah lebih dominan dan berkuasa dalam rumahtangga.

Ini ialah gambar di salah satu poskad yang saya beli. Namanya Visiting Marriage Bridge. Sebuah jambatan sepanjang kira-kira 300 meter merentasi kawasan berair menyambungkan dua kawasan daratan.
Ia diberikan nama sempena salah satu adat budaya unik Etnik Mosou iaitu Visiting Marriage (juga dirujuk sebagai walking marriage atau visiting relationship).
Dalam budaya masyarakat Mosou yang mengamalkan Matriarchal Marriage, kaum wanita memegang kuasa dalam tampuk pemerintahan di peringkat rumahtangga.
Mereka menjadi ketua keluarga dan pemutus apa jua keputusan. Berkuasanya taraf wanita di dalam masyarakat Mosou hinggakan anak yang lahir hasil daripada walking marriage akan dijaga dan dibesarkan oleh si ibu.
Dalam kebanyakan kes, bapa kepada si anak tidak diketahui identiti sebenar. Pada mereka, tidak mengapa jika bapa kepada bayi yang dilahirkan tidak diketahui. Ia tidak mengundang stigma negatif masyarakat terhadap si ibu mahupun si anak.

Kaum lelaki dalam masyarakat Mosou tidak memainkan peranan penting. Peranan dominan mereka hanya sewaktu majlis kematian dan tugas menyembelih binatang peliharaan.
Malahan dikatakan mereka tidak bekerja dan hanya menyediakan tenaga secukupnya untuk lawatan ke rumah si wanita pada malam harinya.
Oleh kerana berkuasanya wanita, merekalah yang akan menjemput mana-mana lelaki yang disukai untuk melawat rumahnya pada malam hari bagi meneruskan kelangsungan amalan perkahwinan tanpa komitmen ini.
Baca: Oh! Di Sini Rupanya Tembok Besar China Ini Berakhir. Sungguh Tak Sangka!





Gadis dengan bibir merah,
Seperti warna tomato ranum
Sejurus saya menyeberangi jambatan visiting marriage dan disambung pula dengan berjalan kaki lebih kurang 10 minit, saya tiba di kawasan deretan gerai-gerai jualan untuk para pelancong. Tidak banyak yang menarik minat saya melainkan sebuah gerai menjual poskad.
Seorang gadis menguntum senyum menyambut saya. Kulit putih halus dan bersih. Maklumlah tinggal di kawasan gunung yang sejuk. Berkening nipis dan bibir merah bagai buah tomato masak ranum.
Namanya Fei Fei dan menyapa mesra saya dalam bahasa ibundanya. Saya terangkan dalam Bahasa Inggeris yang saya tidak bertutur fasih Bahasa Cina.
“Oh maafkan saya. Saya ingatkan kamu Orang Cina sebab muka seiras Cina,” balas Fei Fei. Saya tahu agak sulit untuk dia berbahasa Inggeris dengan lancar tapi dia mencuba.
“Tidak mengapa, di negara saya Malaysia pun, ada je orang menyapa saya dalam Bahasa Cina,” balas saya sambil membelek-belek poskad.
Usai memilih poskad dan membayar, saya mohon diri untuk beredar. Hujan rintik-rintik pada awalnya tadi bertukar menjadi lebat. Mungkin nampak kerisauan saya, Fei Fei bertanya “awak ada payung?,” yang mana lantas saya senyum dan keluarkan payung kecil dari dalam daypack.
Kami sama-sama senyum. Selepas bertukar ucapan selamat tinggal, kami berpisah.
Hujan yang lebat membasahkan juga beberapa bahagian baju dan seluar, walau saya berpayung.
Dalam kesejukan dan tempias air hujan, otak ligat berfikir; apakah kalau saya jawab “saya tiada payung” kepada soalan Fei Fei tadi, maka dia akan menjemput saya berteduh ke rumahnya? Bukankah kuasa menjemput lelaki disukai ke rumah adalah hak wanita dalam masyarakat Mosou?
Jika tidak, dapat juga saya bertukar-tukar buah fikiran dengan Fei Fei di kediamannya mengenai adat budaya masing-masing.
Haih, kenapalah cepat sangat keluarkan payung tadi? Tengok, pakai payung pun basah jugak, kan?
Petang itu, saya pulang ke hostel dan lencun dalam penyesalan sebab tidak berpeluang berdiskusi dengan Fei Fei mengenai hal-hal ilmiah, errrrr… errrrr… contohnya seperti “kesan visiting marriage kepada sosio ekonomi negara china dalam era kelembapan ekonomi global.”
Hujan berterusan hingga ke malam. Sejuk mencengkam hingga ke tulang hitam. mujur ada selimut elektrik disediakan hostel.
Lugu Lake
Yunnan, China

Bagaimana untuk ke sana?
- Naik bas dari Lijiang ke Lugu Lake
- Tempoh masa 9 jam
- Tambang : 100yuan
- Akan naik 3 bas (tukar-tukar bas) : bas pertama 34 seater, bas kedua 18 seater dan bas ketiga 34 seater. Kena tukar-tukar bas sebab rasanya keadaan jalan ada yang sempit dan bengkang bengkok hanya boleh dilalui bas kecik.
- Seperti biasa jalan di pergunungan keadaannya memang turun naik turun naik, bengkang bengkok, gaung dalam etc etc. So sesiapa yang mabuk darat tu, silalah buat persiapan sewajarnya.

Masa driver bas belikan tiket masuk Lugu Lake, bolehlah ke view point berdekatan di kaunter tiket ni. Boleh tengok panorama pandangan lugu lake. Tapi waktu ni cuaca mendung. So mungkin kualiti gambar kureng skit.
Entrance fee
Kalau dari Lijiang, 100 Yuan. Driver bas akan kutip di kaunter tiket dan belikan tiket.
Penginapan/ pengangkutan di Lugu Lake
Banyak hotel. Tapi hostel di Loushi Village tu macam ada 1 je iaitu yang saya stay Husi Tea House Yout Hostel. Harga : 45 Yuan per bed per night untuk dorm 6 orang.
Disediakan selimut elektrik, so taklah kesejukan ahaks. Nak ronda-ronda Lugu Lake tu boleh sewa basikal atau motorsikal elektrik. Rate motorsikal elektrik, 80 Yuan untuk 9am hingga 7pm
Lain-lain
Kalau naik bas dari Lijiang, di Lugu Lake nanti bas akan berhenti di Loushui Village. Nak senang stay je kat village ni sebab kalau nak ke kawasan lain kena naik local bus. Leceh sikitlah. Lagipun Loushui Village ni best je.
Di Loushui Village ada kaunter beli tiket bas balik Lijiang. Sampai-sampai je teruslah beli tiket balik. Harga sama iaitu 100 Yuan. Stesen bas jugak di kawasan ini.