Kenderaan berat tidak boleh lagi guna lorong paling kanan di lebuh raya. Mereka kena kekal di lorong paling kiri, kecuali masa nak memotong kenderaan lain pada tahun ini.

Menurut NST, ini adalah salah satu daripada lima perubahan yang Kementerian Pengangkutan (MOT) akan laksanakan dengan tegas untuk kenderaan komersial, terutamanya lori dan bas.

Kenderaan berat
Sumber Gambar: Astro Awani

Peraturan lain yang diperketatkan termasuklah wajib pasang alat kawalan kelajuan serta pasang alat penjejak GPS, pemasangan alat pengesan berat bergerak berkelajuan tinggi (HS-WIM) di 11 lokasi lebuh raya dan juga penambahan kamera Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES).

Sudah diwartakan sejak 2015 tetapi tidak dikuatkuasakan
Kenderaan berat
Sumber Gambar: MOT

Ketua Setiausaha Kementerian, Datuk Jana Santhiran Muniayan, berkata peraturan yang melarang bas dan lori daripada menggunakan lorong paling kanan telah diwartakan pada tahun 2015, tetapi belum dikuatkuasakan.

“Mengikut peraturan ini, lori dan bas mesti kekal di lorong kiri dan tidak dibenarkan memandu laju. Jika mereka perlu memotong, mereka boleh bergerak ke lorong kedua dan kemudian kembali ke lorong kiri.

“Bagaimanapun, mereka dilarang sama sekali menggunakan lorong ketiga pada bila-bila masa. Oleh itu, kami akan mengemukakan semula cadangan ini kepada menteri untuk memastikan ia dikuatkuasakan bagi kenderaan berat di lebuh raya,” katanya dalam satu temu bual baru-baru ini.

Mengenai alat kawalan kelajuan pula, beliau berkata semua lori baru sudah dilengkapi dengannya.

Walau bagaimanapun, pemilik kenderaan lama mempunyai pilihan untuk memasangnya sendiri, seperti yang dibenarkan oleh Agensi Pengangkutan Awam Darat (Apad).

“Alat ini akan menghadkan kelajuan kenderaan berat kepada 80kph hingga 90kph untuk mengelakkan kemalangan.

“Peraturan ini juga telah diwartakan di bawah undang-undang sedia ada, tetapi ia belum dikuatkuasakan lagi, dan kami mahu melihatnya dilaksanakan,” tambahnya.

Jana Santhiran berkata peraturan pemasangan GPS akan berkuat kuasa bulan ini, membolehkan Apad mengambil tindakan berdasarkan pemantauan masa nyata sistem tersebut.

“Bagi alat kawalan kelajuan dan GPS, pemeriksaan akan dijalankan setiap enam bulan di Puspakom untuk memastikan pematuhan,” katanya.

Jika berlaku sebarang pelanggaran trafik, pihak berkuasa boleh mengambil tindakan serta-merta, termasuk menggantung atau membatalkan permit syarikat lori atau bas.

Pemasangan HS-WIM di 11 lokasi lebuh raya dijangka siap pada suku pertama tahun hadapan untuk mengesan kenderaan yang terlebih muatan.

Pada masa ini, dua lokasi berada dalam fasa bukti konsep (POC), manakala sembilan lokasi yang lain sedang menjalani projek perintis, yang dijangka beroperasi sepenuhnya awal tahun hadapan.

“Kami juga bekerjasama dengan pengendali lebuh raya, kerana mereka mempunyai sistem yang mampu mengesan muatan lori di plaza tol. Teknologi ini akan dihubungkan dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk membolehkan pengeluaran saman secara automatik,” katanya.

Selain itu, kementerian akan memohon peruntukan daripada Kementerian Kewangan untuk menambah bilangan kamera AES di seluruh negara.

Jana Santhiran berkata penambahbaikan ini adalah hasil daripada pasukan petugas khas yang ditubuhkan pada awal Januari untuk menangani secara menyeluruh isu-isu berkaitan kenderaan berat.