Ford Motor Co, jenama automotif terkenal dari Amerika Syarikat, mengumumkan bakal mengurangkan 4,000 pekerja di Eropah menjelang 2027, lapor The Edge.
Langkah ini melibatkan 14% tenaga kerja Ford, dengan pengurangan pekerajaan terbesar dijangka berlaku di Jerman dan UK.
Difahamkan bahawa Ini adalah sebahagian daripada strategi Ford untuk mengurangkan kos dalam peralihan ke kenderaan elektrik (EV).
Keputusan ini datang ketika industri automotif Eropah bergelut dengan penurunan jualan EV dan sokongan kerajaan yang semakin berkurangan.
Malah, jenama lain seperti Volkswagen dan Stellantis turut memberi amaran mengenai keuntungan yang terjejas akibat situasi pasaran semasa.
John Lawler, Naib Pengerusi dan Ketua Pegawai Kewangan Ford, menegaskan bahawa Ford memerlukan satu dasar yang lebih jelas dalam industri e-mobiliti di Eropah.
“Apa yang kita perlukan ialah pelaburan besar dalam infrastruktur pengecasan, insentif EV yang bermakna, dan kelonggaran dalam sasaran pengurangan CO2,” katanya.
Ford sebelum ini merancang untuk membina kenderaan yang sepenuhnya menggunakan sistem elektrik menjelang akhir dekad ini, tetapi setakat ini perancangan itu terbantut.
Tahun lalu sahaja, Ford sudah memotong 3,800 pekerjaan di Eropah.
Selain itu, saingan dari pengeluar kenderaan di China juga memain peranan kenapa sektor kenderaan elektrik jenama Eropah perlahan.
Di Jerman, pengurangan pekerja akan melibatkan 2,900 jawatan, manakala di UK, 800 jawatan akan dihapuskan.
Kerajaan UK telah meminta Ford untuk berkongsi pelan penuh mereka bagi membantu mengurangkan impak sosial dan ekonomi daripada keputusan ini.
Ford juga mengurangkan pengeluaran model EV Explorer dan Capri di kilang Cologne, Jerman.
Malah, kilang Saarlouis akan ditutup sepenuhnya tahun depan.
Pengumuman Ford ini sebenarnya bakal menjadi satu isu besar kepada sektor industri Jerman, yang sudah pun bergelut dengan kelembapan ekonomi.
Sebelum ini, pembekal besar seperti Schaeffler AG dan ZF Friedrichshafen turut mengurangkan ribuan pekerja.
Selain Ford, Volkswagen juga dilaporkan mempertimbangkan untuk menutup kilang mereka.