Menteri Pendidikan, Yang Berhormat (YB) Fadhlina Sidek menganggap keputusan cemerlang dicatatkan dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 menjadi cerminan kepada peningkatan kualiti sistem pendidikan negara.
Seperti yang dilaporkan sebelum ini, keputusan SPM 2024 merupakan antara pencapaian terbaik pernah dicapai dalam peperiksaan tersebut.
Baca Juga:
- 1,789 Calon SPM 2024 Dapat Semua G
- Senarai Sekolah Terbaik Keputusan SPM 2024
- KPM Mohon Maaf, Ambil Tindakan Segera Ekoran Kesilapan Paparan Jalur Gemilang Dalam Laporan SPM
Ia dibuktikan dengan Gred Purata Kebangsaan (GPK) mencatatkan pencapaian daripada 4.60 pada 2023 kepada 4.49.
Fadhlina melihat pencapaian membanggakan itu adalah hasil daripada pelbagai inisiatif dan intervensi strategik yang dilaksanakan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Menurutnya, antara aspek utama yang dikenal pasti memberi impak positif terhadap keputusan ialah kadar kehadiran calon semasa peperiksaan serta usaha merapatkan jurang pencapaian antara pelajar di kawasan bandar dan luar bandar.
“Kehadiran (calon) ialah antara (penambahbaikan) yang cukup signifikan,” ujar beliau menurut sumber laporan BH Online.
“Intervensi yang kita lakukan sedikit sebanyak dapat mengurangkan (ketidakhadiran), begitu juga dengan jurang (keputusan). (Penambahbaikan) dapat dilihat secara signifikan dan kita akan teruskan.”
“Tahun lalu, kita juga mengambil langkah intervensi bagi memastikan kelulusan terus meningkat untuk anak-anak ini layak mendapat sijil membabitkan dua subjek, iaitu Bahasa Melayu dan Sejarah.”
“Kita berjaya pada tahun ini, maknanya yang layak mendapat sijil juga meningkat. Oleh itu, saya fikir ada banyak segmen untuk ditambah baik dan kita mengambil serius perkara ini bagi memastikan keputusan akan datang lebih baik,” ujar beliau lagi.