Peniaga bukan Islam kini berada di bawah radar Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) selepas diberi amaran keras berhubung penyalahgunaan simbol Islam untuk mengaburi mata pengguna Muslim, lapor Malay Mail.

Dalam jawapan bertulis kepada Parlimen semalam, kementerian itu menegaskan bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati bersalah menggunakan simbol Islam seperti masjid, Kaabah, bulan sabit, bintang, atau ayat-ayat suci Al-Quran untuk memperdaya pengguna Muslim.

Mengikut Perintah Perihal Dagangan (Takrif Halal) 2011, peniaga yang melanggar peraturan ini boleh dikenakan denda maksimum RM1 juta atau penjara sehingga tiga tahun, atau kedua-duanya sekali.

Bukan sahaja peniaga bukan Islam, malah peniaga Muslim juga tidak terkecuali.

KPDN menegaskan bahawa penggunaan istilah “halal” tanpa sijil halal sah adalah satu kesalahan serius.

Semua perniagaan perlu mendapatkan sijil halal terlebih dahulu sebelum boleh menggunakan istilah, simbol, atau sebarang bentuk pemasaran yang menggambarkan produk mereka sebagai halal.

Jika didapati melanggar undang-undang ini, peniaga boleh dikenakan denda sehingga RM100,000 atau dipenjara tidak lebih tiga tahun, atau kedua-duanya sekali, di bawah Perintah Perihal Dagangan (Pensijilan dan Penandaan Halal) 2011.

Menurut kementerian, menggantung ayat suci Al-Quran atau menggunakan visual seperti Kaabah dan masjid untuk menarik perhatian pembeli Muslim, jika dilakukan tanpa niat jujur atau tanpa memenuhi syarat halal yang sebenar, adalah satu tindakan menipu.

Perkara ini menjadi perhatian selepas soalan diajukan oleh Ahli Parlimen Maran, Datuk Seri Ismail Abd Muttalib, yang ingin tahu langkah yang diambil untuk menangani isu ini.

Tindakan ini mendapat perhatian meluas di media sosial, dengan netizen meluahkan rasa tidak puas hati terhadap segelintir peniaga yang sanggup menggunakan agama sebagai alat pemasaran.

“Ini bukan sekadar penipuan, tapi penghinaan terhadap sensitiviti umat Islam,” kata seorang pengguna Twitter.