Kerajaan Indonesia bersetuju untuk memberi kerakyatan kepada dua pemain warisan iaitu Mees Hilgers dan Eliano Reijnders sekaligus boleh memperkuatkan skuad Garuda pada masa akan datang.

Menerusi laporan media tempatan, Dewan Perwakilam Rakyat (DPR) sebulat suara bersetuju untuk memberi kerakyatan kepada dua pemain ini selepas dokumen yang dikemukakan menunjukkan kedua-duanya mempunyai keturunan Indonesia.

Baca Juga:

Menteri Belia dan Sukan Indonesia iaitu Dito Ariotedjo menegaskan Mees Hilgers dan Eliano Reijnders merupakan pemain muda dan mempunyai pengalaman beraksi di saingan liga yang berkualiti selain bersama skuad muda Belanda.

Hal ini dilihat boleh membantu skuad Garuda di peringkat antarabangsa khususnya dalam usaha menduduki top 100 dalam ranking FIFA selain kelayakan Piala Dunia 2026 dan juga kejohanan antarabangsa yang lain.

Hilgers merupakan pemain pertahanan tengah yang beraksi bersama kelab Eredivisie iaitu FC Twente sejak 2011 dimana beliau sudah bersama kelab itu sejak dari peringkat bawah umur.

Pemain Warisan Indonesia
Mees Hilgers

Pemain berusia 23 tahun itu mempunyai kaitan dengan Indonesia melalui ibunya yang berasal dari Manado.

Bagi Eliano pula, pemain yang juga berusia 23 tahun itu beraksi bersama satu lagi kelab Eredivisie iaitu PEC Zwolle dan boleh mengisi poisisi sayap dan pemain tengah menyerang.

Eliano merupakan adik kepada pemain yang memilih untuk beraksi bersama skuad kebangsaan Belanda iaitu Tijani Reijnders dimana kedua-dua pemain ini memiliki kaitan dengan Indonesia melalui ibu mereka yang berasal dari Maluku.

Secara keseluruhan, lebih dari 13 pemain warisan dibawa masuk oleh Persatuan Bola Sepak Seluruh Indonesia (PSSI) bagi memperkuatkan pasukan sejak tahun 2022.

Hasilnya, mereka berjaya mengutip dua mata dari dua perlawanan awal saingan kelayakan Piala Dunia 2026 ketika menentang Arab Saudi dan Australia yang mana dua perlawanan ini berakhir dengan keputusan seri.