Peminat bola sepak di rantau Asia mula meluahkan rasa tidak puas hati terhadap pasukan Bahrain yang dianggap sering mencetuskan kontroversi dalam saingan kelayakan Piala Dunia 2026 yang sedang berlangsung ketika ini.

Pasukan dari Timur Tengah itu menjadi bahan perbincangan selepas meminta kepada AFC dan FIFA untuk perlawanan menentang Indonesia di tempat lawan pada Mac 2025 diadakan di venue berkecuali kerana isu keselamatan pemain, pegawai serta peminat pasukan itu.

Baca Juga:

Permohonan ini dilakukan selepas mereka mendapat kecaman, kritikan malah serangan siber dari rakyat negara jiran selepas aksi menentang Indonesia di Manama yang berakhir dengan keputusan seri 2-2.

Permohonan ini kurang disenangi khususnya oleh Indonesia dan beberapa laman berita berpendapat permintaan itu tidak masuk akal kerana Bahrain sendiri yang seolah-olah menjemput masalah ke dalam kem mereka.

Sebagai permulaan, peminat Bahrain mencemuh dan menghina lagu kebangsaan Jepun selain ada peminat yang menggunakan laser untuk menganggu pemain lawan.

Yang kedua, pengadil iaitu Ahmed Al-Kaf memberikan masa tambahan yang lebih dari apa yang ditetapkan ketika menentang Indonesia sekaligus membolehkan pasukan itu menjaringkan gol penyamaan dan meraih satu mata.

Yang terakhir, salah seorang influencer negara itu memuat naik video yang menghina lagu kebangsaan Indonesia ketika skuad Garuda tewas kepada China.

PSSI melalui salah seorang EXCO iaitu Arya Sinulingga memberi maklum balas kepada permintaan itu dimana beliau menegaskan Indonesia merupakan satu negara yang aman damai.

“Pertama kita akan hantar surat ke AFC yang menyatakan mahu perlawanan tersebut kekal berlangsung di Jakarta, kerana sebelum ini kami beraksi di ibu kota Bahrain.

“Kedua, kita akan memastikan keselamatan dan keselesaan tetamu kita iaitu Bahrain kerana kita sebagai rakyat Indonesia adalah bangsa yang ramah terhadap tetamu.

“Kemudian mengenai apa yang berlaku di media sosial, rakyat negara ini kadang-kadang banyak komen tetapi mereka sebenarnya baik. Kita memang terkenal sebagai bangsa yang ramah.

“Kita sudah membuktikan ketika menjadi tuan rumah Piala Dunia B-17 Tahun yang mana kejohanan itu berlangsung dengan sempurna,” katanya.