Seramai 127 Tenaga Kerja Indonesia (TKI) telah dihantar pulang dari Tawau, Malaysia ke Pelabuhan Tunon Taka, Nunukan, Kalimantan Utara pada Selasa, 3 Jun 2025.
Ketibaan mereka telah dipantau secara langsung oleh Timbalan Ketua Badan Pelindungan Pekerja Migran Indonesia (BP2MI), Christina Aryani.
Baca Juga:
- Media Indonesia ‘Claim’ Malaysia Tiru Mereka Dengan Ambil Pemain Warisan
- Job Fair Di Indonesia Jadi Huru-Hara, Ribuan Anak Muda Berhimpit Sampai Pengsan
- Indonesia Tiada Masalah Iktiraf Israel Sebagai Sebuah Negara, Tapi…
Dalam lawatannya itu, Christina Aryani menyuarakan keprihatinannya terhadap masih tingginya jumlah warganegara Indonesia yang bekerja di luar negara secara tidak mengikut prosedur, petik portal Benuanta.co.id.

Beliau mengingatkan para pekerja Indonesia untuk tidak lagi memilih jalan tidak sah dalam mencari rezeki di negara jiran, Malaysia.
“Kalau kembali melalui jalan tidak sah dan ditangkap lagi, kemudian dideportasi berulang kali, itu tidak baik. Keadaan di depot tahanan tidak selesa, jadi jangan ulangi kesilapan yang sama,” tegas Christina di hadapan para TKI.
Bekerja di Indonesia jauh lebih selamat daripada di Malaysia
Pada masa sama, Christina memaklumkan bahawa bagi warga yang berminat untuk bekerja dalam sektor perladangan, khususnya kelapa sawit, kerajaan negeri di Kalimantan Utara menawarkan peluang pekerjaan yang sah dan selamat.
“Kalau ingin bekerja di ladang kelapa sawit, di Kalimantan Utara juga ada yang sedia menerima. Itu lebih selamat, dekat dengan keluarga, dan sudah tentu dilindungi oleh negara,” tambahnya.
Dalam pada itu, BP2MI terus berusaha mendidik masyarakat agar tidak terpedaya dengan pujukan ejen haram dan sindiket penempatan tidak sah, serta menggalakkan penempatan kerja yang mengikut prosedur dan bermaruah.

Dalam lawatannya kali ini, Christina turut meninjau secara langsung laluan tikus yang digunakan oleh pekerja migran Indonesia untuk masuk ke Malaysia secara haram melalui Tawau, Sabah.
Christina menyatakan bahawa memang sukar untuk mengawal semua kemungkinan l’aluan tikus’ kerana kawasannya sangat luas.
Selain itu, terdapat banyak lokasi yang boleh dijadikan pintu masuk.

Untuk makluman, Malaysia merupakan salah satu negara destinasi utama bagi pekerja migran Indonesia dengan jumlah penempatan mencecah 142,021 orang dalam sektor perkhidmatan sepanjang Januari 2023 hingga April 2025.