Semua sedia maklum harga tiket penerbangan secara relatifnya memang mahal dan ramai mahu mencuba pelbagai trik dalam usaha mendapatkan diskaun.
Bagaimanapun, siapa sangka ada individu sanggup buat kerja gila dan menyalahi undang-undang dek kerana mahu menaiki penerbangan secara percuma?
Memetik laporan Sinar Harian, di bandar Tallahasee, seorang lelaki telah menyamar sebagai pramugara dek kerana mahu menaiki penerbangan secara percuma sebanyak 120 kali.

Pada 5 Jun lalu, pendakwa raya di Pejabat Daerah Selatan Florida mendapati Tirone Alexander, 35, bersalah atas beberapa pertuduhan serius.
Alexander didapati bersalah bukan sahaja kerana menyamar, malah turut memasuki kawasan larangan di lapangan terbang menggunakan alasan palsu. Selain itu, dia juga didapati bersalah atas penipuan elektronik yang dilakukan antara tahun 2018 hingga 2024.
Alexander didapati menyalahgunakan polisi yang membenarkan kru penerbangan dan juruterbang syarikat penerbangan lain untuk menaiki pesawat secara percuma.
Syarikat penerbangan yang dinamakan dalam dokumen mahkamah termasuklah American Airlines, Spirit Airlines, United Airlines, Delta Air Lines, dan Southwest Airlines.
Dia membuat tempahan tiket percuma dengan menyamar sebagai ‘pramugara’, mendakwa bekerja di tujuh syarikat penerbangan berbeza, dan memiliki kira-kira 30 lencana serta tarikh pengambilan kerja yang berlainan.
Alexander juga menggunakan taktik serupa untuk mendapatkan tiket penerbangan percuma di tiga syarikat penerbangan lain. Hukuman ke atasnya dijangka akan diputuskan pada 25 Ogos depan.