Pemilik dua anjing jenis Rottweiler yang menyerang dan menggigit lima individu di Taman Desa Bidara, Kuala Ketil, setuju melupuskan haiwan peliharaannya dengan kaedah ditidurkan.
Pegawai Daerah Baling, Yazlan Sunardie Che Yahya, berkata persetujuan itu dicapai susulan pertemuan antara pemilik anjing dengan pihak berkuasa berkaitan, semalam.
“Kedua-dua anjing itu diserahkan kepada Pejabat Veterinar Baling untuk dilupuskan secara ditidurkan mengikut prosedur,” katanya ketika dihubungi BERNAMA.
Selain itu, katanya, Majlis Daerah Baling telah mengeluarkan dua kompaun kepada pemilik anjing berkenaan atas kesalahan membela anjing tanpa lesen.
Semalam, Berita Harian melaporkan lima cedera selepas digigit dua anjing berkenaan yang terlepas daripada sangkar di Taman Desa Bidara, Kuala Ketil.
Kesemua mangsa kini sedang menerima rawatan di Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani. – BERNAMA