Sejak beberapa minggu kebelakangan ini, kes “keropok beracun” yang menggemparkan Kampung Padang Ubi, Labu Besar, menjadi topik hangat perbualan rakyat Malaysia.

Kejadian yang menyebabkan dua orang kanak-kanak maut akibat keropok yang didakwa beracun ini telah mencetuskan pelbagai spekulasi dan tuduhan.

Namun, di sebalik kekalutan ini, pekebun yang dituduh sebagai punca kejadian akhirnya tampil bersuara di Facebook mendedahkan versi sebenar dari perspektifnya.

Pekebun tersebut, yang enggan identitinya didedahkan, mendakwa bahawa dia telah difitnah dan dibiarkan teraniya sepanjang kes ini.

Dalam satu kenyataan yang penuh emosi, beliau menceritakan bagaimana dirinya ditahan selama lapan hari tanpa sebarang bukti kukuh yang mengaitkan dia dengan kematian kanak-kanak tersebut.

Menurut pekebun ini, keropok yang dikatakan sebagai punca kematian sebenarnya diletakkan di atas pagar setinggi empat kaki setengah — satu ketinggian yang mustahil untuk dicapai oleh kanak-kanak berusia dua hingga tiga tahun.

Lebih membingungkan, pekebun tersebut menegaskan bahawa kawasan di mana keropok itu ditemui adalah dalam pagar yang bersebelahan dengan hutan, bukan di tepi jalan seperti yang dilaporkan.

Ini menimbulkan persoalan besar: bagaimana kanak-kanak yang masih kecil boleh berkeliaran sejauh 100 meter ke dalam hutan tanpa pengawasan?

Dalam kenyataannya, pekebun itu turut mendakwa bahawa keluarga mangsa sering mengabaikan kanak-kanak tersebut.

“Budak-budak itu pernah sampai ke rumah saya dengan pampers penuh dengan tahi,” dakwanya, sambil menambah bahawa kanak-kanak itu sering dilihat berkeliaran tanpa pengawasan.

Beliau juga menyatakan bahawa tiada seorang pun wartawan atau NGO yang datang untuk mendengar kisah dari pihaknya, walaupun dia telah berada di rumah sepanjang masa dan memberi kerjasama penuh kepada pihak polis.

Pekebun ini turut menyuarakan rasa tidak puas hatinya terhadap liputan media yang dirasakannya berat sebelah.

Menurutnya, media lebih banyak memihak kepada keluarga mangsa tanpa mendengar atau melaporkan versi ceritanya.

“Wartawan jangan putar belit fakta, ceritakan benda yang betul,” tegasnya.

Tambah pekebun ini lagi, beliau telah melaporkan masalah kera yang menjadi punca insiden ini kepada pihak perhilitan sejak tahun 2021, namun tiada tindakan yang diambil sehingga tragedi ini berlaku.

Beliau juga menegaskan bahawa tindakan membunuh haiwan seperti kera yang mendatangkan mudarat adalah dibenarkan demi keselamatan dan kesejahteraan.

Dengan pihak berkuasa kini dalam siasatan, kebenaran di sebalik kejadian tragis ini masih menjadi tanda tanya.