Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) menolak keputusan Mahkamah Rayuan yang menjatuhkan hukuman gantung sampai mati kepada enam bekas penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) atas kesalahan membunuh Pegawai Kadet Laut, Zulfarhan Osman Zulkarnain, tujuh tahun lalu, lapor MalaysiaKini.

Dalam satu kenyataan rasmi, Suhakam menyatakan, meskipun memahami kesedihan keluarga mangsa dan mengakui keseriusan jenayah tersebut, hukuman mati bukanlah penyelesaian yang adil atau berkesan.

Suhakam menyeru kerajaan untuk mempertimbangkan semula pelaksanaan hukuman mati dan mengusahakan sistem keadilan yang lebih saksama dan berperikemanusiaan.

Menurut suruhanjaya itu, hukuman gantung sampai mati adalah hukuman yang tidak boleh diubah dan tidak memungkinkan berlakunya pemulihan sekiranya terdapat kesilapan kehakiman.

Selain itu Suhakam juga berkata bahawa ia bertentangan dengan gerakan global ke arah pemansuhan hukuman mati yang diakui banyak negara sebagai tidak berperikemanusiaan dan melanggar hak asasi manusia.

Tambah Suhakam lagi, keputusan mahkamah rayuan ini menandakan detik menyedihkan dan penting dalam sejarah kehakiman Malaysia.

Mereka menekankan bahawa penting untuk fokus kepada aspek pemulihan dalam sistem keadilan kerana cara ini boleh membawa perubahan kepada pesalah dan mengubah mereka menjadi masyarakat yang lebih bertanggungjawab.

Pendekatan ini bukan sahaja menangani punca kelakuan ganas terbabit tetapi juga membantu mencegah kejadian sama pada masa depan dengan menggalakkan persefahaman, empati dan tanggungjawab sosial dalam kalangan pesalah.

Suhakam menegaskan komitmen mereka terhadap hak asasi manusia memberi mandat untuk menyokong pemansuhan hukuman mati.

Mereka berharap kerajaan Malaysia akan mengambil kira pandangan ini dan bergerak ke arah reformasi sistem keadilan yang lebih inklusif dan berperikemanusiaan.

Selasa lalu, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan sebulat suara mendapati enam bekas pelajar itu bersalah dan mengetepikan sabitan awal mereka bagi kesalahan menyebabkan kematian tanpa niat untuk membunuh.

Hakim Hadhariah Syed Ismail yang mengetuai panel tiga hakim itu berkata, hukuman 18 tahun yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sebelum ini tidak setimpal dengan kekejaman yang dilakukan oleh bekas pelajar tersebut.

Zulfarhan meninggal dunia di Hospital Serdang pada 1 Jun 2017 akibat kecederaan daripada 90 tekapan seterika wap yang menyebabkan kira-kira 80 peratus badannya melecur.

Remaja berusia 21 tahun itu didakwa diserang kerana enggan mengaku mencuri komputer riba salah seorang daripada enam bekas pelajar itu, di asrama universiti awam tersebut di Kuala Lumpur.

Mereka yang didapati bersalah ialah Mohd Hafiz Fauzan Ismail, Mohamad Lukhmanul Hakim Mohd Zain, Ahmad Shafwan Berdal, Muhammad Amirul Asraff Mala, Luqman Hakim Shamsuri Agus, Muhammad Sufi Mohd Mustapha, Noriznan Izzairi Noor Azhar, Muhamad Ashraf Abdullah, Muhammad Danial Firdaus Azmir, Muhammad Hasif Ismail, Muhammad Adib Iman Fuad Ady Sani dan Mohamad Syazwan Musa.