Pemilik kelab Johor Darul Ta’zim (JDT), Duli Yang Amat Mulia, Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim, Pemangku Sultan Johor menegaskan kewangan kelab Thailand, Buriram United jauh lebih baik berbanding kelabnya.
Dalam satu soal jawab bersama penyokong JDT di Pusat Latihan JDT di Padang Seri Gelam baru-baru ini, Tunku Ismail membandingkan tahap kewangan dua kelab selepas ada pihak yang melaporkan kewangan JDT lebih besar tetapi gagal menewaskan Buriram.
Baca Juga:
- ACL Elite 2024/25: Gol Tunggal Suphanat Buat JDT Hampa, Hantar Buriram United Ke Suku Akhir
- Buriram United Tidak Gentar Dengan Puluhan Ribu Penyokong JDT
- Tunku Ismail Dedah Mengapa JDT Berpisah Dengan Esteban Solari
Menurut beliau, Buriram jelas mempunyai kewangan yang lebih kukuh jika dilihat dari barisan pemain yang dimiliki oleh kelab itu.

Kewangan Buriram United Lebih Baik
“Kalau tengok pasukan utama kita, kita tiada kuasa kewangan macam pasukan lain. Contoh beberapa tahun lalu, kita nak ambil Bisoli (Guilherme) tetapi tiada bajet. Buriram United ambil (pemain itu) jadi kita boleh tengok duit mereka lebih daripada kita.
“Sama macam Dion Cools, (kita) tak mampu tetapi Buriram mampu. Kita punya bajet tidak sebegitu hebat seperti yang diuar-uarkan media. Kita ambil pemain import pun adalah ejen bebas jadi kita tak payah bayar yuran yang begitu besar,” kata Tunku Mahkota Ismail.

Dalam masa yang sama, Tunku Ismail menegaskan JDT akan menghadapi saingan yang lebih sengit musim hadapan dalam saingan AFC Champions League (ACL) Elite.
“Tahun depan dan setiap tahun akan jadi lebih mencabar buat kami. Tiada jalan mudah untuk pertandingan berprestij ini kerana anda kena tahu pasukan lain seperti Jepun, China dan Korea Selatan ada bajet lebih tinggi.
“Kalau kita tengok situasi program dan kalendar liga yang berubah supaya selaras dengan negara lain termasuk Eropah, ini memberi kita lebih ruang untuk menandatangani (pemain) yang eksklusif dan strategik. Ada kelebihan untuk kita,” tambah Tunku Ismail.
Perjalanan JDT dalam saingan ACL Elite musim ini terhenti di peringkat 16 pasukan terakhir dimana gol tunggal Suphanat Mueanta memastikan Buriram layak ke peringkat suku akhir yang bakal diadakan di Arab Saudi.