Nama FashionValet menjadi sebutan semula setelah tular laporan penjualan syarikat yang dinilaikan lebih RM400 juta itu hanya dijual pada harga serendah RM5 juta kepada firma pelaburan tempatan, NXBT partner.
Ekoran penyusutan nilai yang mendadak, orang ramai mula mempersoalkan kredibiliti Khazanah yang didakwa telah melabur puluhan juta namun tidak memberikan pulangan yang lumayan.

Menjawab berkaitan tersebut, Khazanah kini mempertahan pelaburan berjumlah RM27 juta oleh mereka menerusi FashionValet pada tahun 2018.
“Khazanah merujuk kepada artikel berita dan ulasan terkini mengenai pelaburan kami dalam FV dan ingin menangani salah tanggapan dan ketidaktepatan.
“Sebagai pelabur pasaran swasta, Khazanah kerap melabur dan melupuskan aset berdasarkan kedudukan pelaburan kami dan strategi peruntukan portfolio, kata seorang jurucakap kepada Business Times.
Bergerak ke hadapan, Khazanah kini telah mengintegrasikan MAVCAP dan Penjana Kapital dibawah mereka, sekaligus akan menerima lebih banyak kepakaran dalam melabur pada pelbagai fasa syarikat tempatan, mahupun antarabangsa.
Memetik laporan Asia Tech Review (ATR) sebelum ini yang mendedahkan NXBT Partners kini memegang 51.25 peratus kepentingan dalam FV selepas memperoleh saham daripada Khazanah, Permodalan Nasional Bhd milik kerajaan dan pelabur lain pada harga kira-kira $1. 1 juta (~RM4.79 juta).
ATR turut melaporkan bahawa NXBT Partners ialah entiti pelaburan peribadi yang dimiliki oleh usahawan Malaysia Afzal Abdul Rahim, yang terkenal dengan peranannya sebagai ketua pegawai eksekutif Time dotCom Bhd, sebuah syarikat telekomunikasi bernilai RM9.4 bilion.