Kesempitan hidup sering kali membuatkan kita tak dapat apa yang diinginkan. Ada yang nak pergi melancong tapi duit hanya cukup untuk perbelanjaan seharian. Ada yang nak makan kat hotel lima bintang tapi hanya mampu makan di gerai biasa dan ada yang ingin keluar daripada kesempitan hidup tapi tak tahu bagaimana.

Kali ini kami mahu share dengan anda kisah 5 orang pelajar yang menyambung pelajaran walaupun menghadapi masalah kewangan. Nak tahu apa yang membuatkan mereka tekad untuk sambung belajar dan apa yang menjadi pendorong mereka? Anda perlu baca kisah di bawah ini.

1. “Ibu kekuatan saya untuk menyambung pelajaran.”

My Brighter Future Point 1

“Jangan jadikan masalah kewangan sebagai alasan untuk kita malas belajar. Berjimat-cermat dalam perbelanjaan seharian, saya sendiri sentiasa menyimpan wang yang emak berikan.” Membesar tanpa kasih sayang seorang bapa bukanlah satu perkara yang mudah.

Penceraian ibu dan bapanya telah menyebabkan Fatien Najihah Mohd Razib, 18, kehilangan sebelah sayap untuk bergantung. Tetapi ternyata dia kuat kerana ketiadaan bapa tidak mematahkan semangat Fatien, sebaliknya menjadi sumber kekuatan untuk menyambung pelajaran di Kolej Komuniti Hulu Langat dalam jurusan Sijil Teknologi Maklumat dengan tawaran Dermasiswa My Brighter Future TNB.

Dia mengakui masalah kewangan merupakan perkara yang paling ditakutinya kerana hanya ibu yang bertungkus-lumus mencari nafkah tetapi Fatien percaya dengan pendidikan, dia mampu untuk membawa keluarganya keluar daripada kesempitan hidup.

Fatien turut berharap adik lelakinya dapat mengikut jejak langkahnya menyambung pelajaran selepas tamat persekolahan kelak.

2. “Saya kesian tengok ayah bawa lori.”

My Brighter Future Point 2

Siapa yang mampu melihat ayah bertungkus-lumus membanting tulang empat kerat membawa lori bagi memberikan keselesaan kepada keluarga?

Bagi Pavithran A/L Anbukarassan, 18, bapanya menjadi pendorong utama untuk dia menyambung pelajaran dalam bidang Diploma Kejuruteraan Elektronik (Komputer) di Politeknik Port Dickson Teluk Kemang.

Bagi anak pemandu lori ini, menyambung pelajaran adalah impiannya kerana dia tahu pendidikan dapat membantu meningkatkan potensi diri dan mendapat pekerjaan yang lebih baik bagi membantu keluarganya.

“Bila dapat tahu saya dapat peluang melanjutkan pelajaran dan ditawarkan dermasiswa My Brighter Future daripada TNB, saya tahu saya tidak boleh lepaskan peluang ni. Ayah selama ini support kami empat beradik dan emak hanya suri rumah. Inilah masanya untuk saya balas jasa ayah. Sampai bila saya nak tengok ayah bawa lori,” kata Pavithran.

3. “Perjalanan rumah saya ke pasar 1 setengah jam.”

My Brighter Future Point 3

Bagi Jerryson Jamba AK Rubing, membesar sebagai anak petani dan tinggal di kawasan pedalaman Sarawak, menjadi sumber kekuatannya untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang Kejuruteraan Mekanikal di Politeknik Port Dickson Teluk Kemang.

“Saya tinggal di kawasan pedalaman dan untuk ke pasar saja sudah memakan masa 1 setengah jam. Itu tak termasuk keadaan jalan raya yang tak sempurna dan tiada capaian internet di rumah,” terang Jerryson.

Walaupun terpaksa berhijrah ke Semenanjung untuk melanjutkan pelajaran, ia bukan penghalang buat Jerryson menggapai impian berjaya dalam pendidikan seterusnya memberikan kehidupan yang lebih baik kepada keluarga.

Dia juga tak merasakan statusnya sebagai anak bongsu daripada 5 beradik sebagai bonus untuk dia terus leka. Sebaliknya, sejurus saja tamat SPM Jerryson bekerja sementara di sebuah syarikat lori yang menghantar baja kilang ke ladang serata Sarawak.

4. “Adik-beradik saya ramai. Mujur saya ditawarkan biasiswa.”

My Brighter Future Point 4

“Cabaran saya untuk melanjutkan pelajaran ialah adik-beradik saya ramai dan ayah saya pula sudah tidak bekerja.”

Lain orang lain cabaran yang dihadapi. Nashrul Walidain, 18, yang berasal daripada Perak. Walaupun pada awalnya dia agak berat hati untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang Kejuruteraan Mekanikal di Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah kerana bimbang menyusahkan keluarganya.

Tetapi Nashrul yakin jika dia berjaya dalam pelajaran, dia boleh membantu keluarganya mendapat kehidupan yang lebih senang di kemudian hari. Nashrul sendiri berasa bertanggungjawab membantu keluarganya sejurus tamat persekolahan apabila dia bekerja secara sambilan di restoran makanan segera berhampiran rumah.

Selepas mengetahui dia ditawarkan dermasiswa My Brighter Future daripada Tenaga Nasional Berhad, Nasrul terus nekad melanjutkan pelajarannya.

5. “Emak saya ibu tunggal dan saya mahu bahagiakan dia.”

My Brighter Future Point 5

Muhammad Amin bin Husni, 18, tidak pernah menyangka dia dan adik-beradiknya bakal kehilangan ayah ketika masih kecil. Ayahnya yang jatuh sakit meninggal dunia selepas terlantar selama 3 bulan di hospital.

Oleh kerana ayahnya bekerja sebagai mekanik, tiada apa yang ditinggalkan kepada keluarga selepas meninggal dunia. Ibu yang tak bekerja terpaksa mengambil upah menjahit bagi menyara kehidupan mereka sekeluarga.

“Ibu kata jangan jadi seperi ibu. Ibu nak anak-anak ibu semua berjaya dunia dan akhirat,” kata Amin.

Amin kini melanjutkan pelajaran dalam Diploma Kejuruteraan Elektronik (Perubatan) di Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah mengikut jejak abang dan kakaknya yang juga melanjutkan pelajaran ke menara gading.

My Brighter Future bantu pelajar kurang berkemampuan melanjutkan pelajaran
My Brighter Future Point 6

Menyedari tak semua pelajar berkemampuan melanjutkan pelajaran ke menara gading, Tenaga Nasional Berhad (TNB) berbesar hati menawarkan Dermasiswa dikenali sebagai My Brighter Future khusus kepada penuntut daripada keluarga berpendapatan terendah untuk melanjutkan pelajaran di institusi pengajian tinggi awam (IPTA).

TNB melalui Yayasan Tenaga Nasional bekerjasama dengan KPM membantu meningkatkan taraf hidup golongan B40 melalui penajaan pendidikan tinggi di IPTA.

Dermasiswa ini juga adalah sebagai satu galakkan kepada pelajar daripada keluarga berpendapatan terendah keluar daripada kepompong kemiskinan dengan dermasiswa yang meliputi yuran pengajian, penginapan, elaun sara hidup dan sebagainya sehingga tempoh pengajian mereka tamat.

Semoga semua pelajar yang mendapat dermasiswa My Brighter Future daripada Tenaga Nasional Berhad dapat belajar bersungguh-sungguh dan dapat mengubah nasib keluarga. Jika anda hendak tahu dengan lebih lanjut mengenai My Brighter Future, anda boleh layari terus laman web ini, https://betterbrighter.my/.