Sudah menjadi lumrah di negara kita dimana sukan bola sepak yang mempunyai jumlah penonton yang ramai lebih mendapat tumpuan dan terbaharu acara melibatkan e-sukan antara yang diberi fokus.
Terbaharu, tular di media sosial apabila pasukan ONEXOX TKKR SAG berjaya mengejutkan ramai serta pasukan-pasukan lain yang bertanding apabila muncul juara dalam ASB1000 Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) 2019.
Kegembiraan penunggang pasukan ini iaitu Azlan Shah Kamaruzaman di Buriram, Thailand turut dikongsi dengan membawa bendera Jalur Gemilang sejurus selepas kemenangan. Walau bagaimanapun, kegembiraan beliau sekadar dikongsi bersama ahli pasukan selepas dikatakan hanya sebuah media bercetak yang tampil membuat liputan. Berikut kami kongsikan dengan lebih lanjut pasukan ONEXOX TKKR SAG.
Bermula dengan modal sendiri
Lebih mengejutkan ramai, siapa sangka tanpa tajaan serta modal yang besar seperti pasukan lain, pasukan ONEXOX TKKR SAG berjaya mengalahkan pasukan Honda yang mempunyai menyediakan modal sebanyak $2 juta (RM8.33 juta) bagi tahun 2019.
Kejayaan pasukan ini secara tidak langsung telah membuka mata ramai serta pasukan Honda setelah jentera BMW S 1000 RR bukan sahaja muncul juara malah meninggalkan jentera Honda dengan tempoh 6 saat.

Rahsia kejayaan pasukan ONEXOX TKKR SAG

Sebagai perbandingan, pasukan ONEXOX TKKR SAG boleh dikatakan masih baru dalam arena permotoran walau bagaimanapun kejayaan yang dicapai ternyata sangat membanggakan.
Berdasarkan perkongsian pengguna Facebook Nor Hafiz, pasukan ONEXOX TKKR SAG memilih jentera BMW kerana jenama ini menawarkan full factory support. Selain itu, jenama ini turut mempunyai nilai komersial yang tinggi dimana kemenangan mereka bakal membolehkan mereka menerima tajaan daripada jenama ini.

BMW S1000 RR yang dibeli telah mendapat pakej dan kemasan enjin di BMW Motorrad dan Alpha Racing. Selain itu, pasukan ini juga turut menggunakan khidmat Peter Shouten selaku data engineer mereka.
Walau bagaimanapun, selain Peter Shouten pasukan ONEXOX TKKR SAG memilih untuk memberi peluang kepada anak Malaysia TKKR yang diketuai oleh Saudara Raja Zaini , Najib HKM , Hafiz, Ijam dan Nasa. Kekurangan modal bagi pasukan ini membuatkan mereka terpaksa melupakan hasrat untuk mendapatkan seorang krew daripada Alpha Racing.
Berjaya mendapat tajaan BMW

Hasil usaha keras pasukan ONEXOX TKKR SAG apabila mereka berjaya menjuarai ASB1000 Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) 2019 sekaligus berjaya mendapat empat jentera BMW 2019 yang baru, parts berjumlah €25,000 (RM115,670), serta perbelanjaan khidmat Peter Shouten dan Marcus Reiterberger ditanggung oleh BMW Motorrad.
Difahamkan pada tahun 2020, pasukan ONEXOX TKKR SAG dijangka bakal mengekalkan krew sedia ada berdasarkan kepercayaan kepada anak tempatan sekaligus berusaha untuk menaikkan nama Malaysia ke persada antarabangsa.
Tahniah diucapkan buat penunggang Azlan Shah Kamaruzaman serta pasukan ONEXOX TKKR SAG diatas hasil usaha keras anda dalam mengharumkan nama Malaysia. Semoga lebih banyak kejayaan berjaya dicapai oleh pasukan ONEXOX TKKR SAG selepas ini.
Dalam perkembangan lain, Hafizh Syahrin pada bulan lalu telah menyertai perlumbaan kereta 1,000km di Sepang. Selain itu, Hafizh Syahrin dilaporkan tidak ada dalam pelan KTM Tech3 bagi musim hadapan.
Hafizh Syahrin Buat Kerja ‘Gila’, Sertai Perlumbaan Kereta 1,000km Di Sepang
Hafizh Syahrin Sah Tiada Dalam Pelan KTM Tech3 Musim Hadapan