Kementerian Kesihatan (KKM) telah mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung larangan jualan dan merampas gula-gula ‘gummy’ berbentuk mata berhubung insiden murid maut selepas memakannya.
Hasil siasatan mendapati produk itu menyalahi keperluan pelabelan yang diperuntukkan bawah Peraturan-peraturan Makanan 1985, Akta Makanan 1983 (Akta 281).
Baca Juga:
- KKM Keluarkan Notis 14 Hari Kepada Produk Kosmetik Popular, Tuntut Penjelasan Iklan Mengelirukan
- Tekak Cina Dan Tekak Melayu Tak Sama? Ini Penjelasan KKM
- Merokok Di Tempat Awam, Tok Mat Minta Dikompaun KKM
“KKM melalui Program Keselamatan dan Kualiti Makanan (PKKM) ingin memaklumkan bahawa saiz atau bentuk sesuatu makanan adalah tidak dikawal bawah Peraturan-Peraturan Makanan 1985 Akta 281.
“Bagaimanapun, ‘konfeksi jeli terkawal’ dengan saiz dan bentuk berdiameter kurang atau sama dengan 45 milimeter hendaklah dilabel dengan ‘AMARAN: BOLEH MENYEBABKAN RISIKO TERCEKIK’ dan perkataan ‘TIDAK SESUAI BAGI KANAK-KANAK DI BAWAH UMUR 3 TAHUN’,” katanya.
Sehubungan dengan itu, tindakan penguatkuasaan termasuk rampasan produk terbabit, akan dibuat berdasarkan peraturan berkenaan.
Memetik kenyataan rasmi itu lagi, sebarang pengambilan apa-apa makanan oleh kanak-kanak hendaklah berada di bawah pengawasan ibu bapa atau penjaga.
“KKM akan terus menjalankan aktiviti pemantauan dan penguatkuasaan keselamatan makanan serta mengambil langkah-langkah pencegahan bagi mengelakkan kejadian seumpama ini berulang,” terang KKM.