Baru-baru ini insiden seekor anak gajah jantan berusia kira-kira lima tahun ditemui mati selepas dilanggar sebuah lori kontena di Kilometer 80, Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Gerik-Jeli mengundang kegelisahan orang ramai.

Pertubuhan pengguna luar bandar, RURAL Malaysia, menyatakan bahawa kegagalan pihak berwajib dalam menyediakan infrastruktur seperti lintasan hidupan liar dan papan tanda amaran telah menyumbang kepada kejadian tersebut, lapor Malaysia Gazette.

Susulan insiden tragis itu, Kementerian Kerja Raya (KKR) dalam satu kenyataan menyatakan infrastruktur laluan selamat lintasan habitat liar akan dimasukkan dalam reka bentuk dan pembinaan jalan raya dan lebuh raya baharu pada masa akan datang.

WCE contoh terbaik laluan mesra haiwan liar
KKR Akan Pastikan 'Terowong Hidupan Liar' Masuk Dalam Rekaan Jalan, Lebuh Raya Baharu
Sumber Gambar: Facebook Kementerian Kerja Raya Malaysia

“Syabas dan Terima Kasih kepada Syarikat Konsesi Lebuhraya Persisiran Barat (WCE – West Coast Expressway) yang telah melestarikan laluan khusus terowong bawah lebuhraya untuk membolehkan habitat hidupan liar bergerak dari satu kawasan hutan ke hutan yang lain melintasi lebuh raya dengan selamat.

Culvert Animal Crosding ini dibina di jajaran Taiping Selatan – Bruas setelah mendapat khidmat nasihat dan persetujuan dari Jabatan Perhilitan.

KKR Akan Pastikan 'Terowong Hidupan Liar' Masuk Dalam Rekaan Jalan, Lebuh Raya Baharu
Sumber Gambar: Facebook Kementerian Kerja Raya Malaysia

“KKR melalui agensinya seperti Lembaga Lebuhraya Malaysia LLM dan Jabatan Kerja Raya JKR akan pastikan elemen ini dimasukkan dalam reka bentuk dan pembinaan jalan raya dan lebuh raya baharu.

“Kerjasama erat dengan Jabatan Perhilitan akan diteruskan bagi memastikan pemeliharaan hidupan liar sentiasa dipertingkatkan,” petik satu kenyataan rasmi.

Pada masa sama KKR memberi pesanan kepada para pemandu kenderaan supaya memperlahankan kelajuan dan berhati-hati ketika melewati lokasi lintasan hidupan liar yang telah dikenal pasti melalui papan tanda dan lampu jalan.