Pada tempoh hari lalu, kecoh di media sosial berhubung isu pelancong wanita dari India yang terjatuh di dalam lubang benam.
Hal ini sekaligus telah menimbulkan pelbagai spekulasi yang mendakwa Kuala Lumpur tidak yang tidak selamat diduduki dan hanya bom jangka masa yang bakal meledak tidak lama lagi.
Dalam menjawab persoalan itu, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Dr Maimunah berkata, tiada bukti kukuh yang menyokong dakwaan terbabit sedangkan Kuala Lumpur merupakan kawasan yang telah lama dibina dan berada dalam keadaan selamat.
“Saya berpendapat Kuala Lumpur telah lama dibina dan selama ini ia selamat. Oleh itu kalau nak katakan tidak selamat mesti ada bukti kukuh dan kajian terperinci.
“Berikutan itu kami telah wujudkan pasukan petugas termasuk Jabatan Geologi dan Jabatan Kerja Raya untuk melihat serta kaji keadaan ini, namun kalau dilihat daripada keadaan semasa Kuala Lumpur masih selamat kecuali ada bukti kajian,” katanya dalam sidang media di Jalan Masjid India di sini pada Ahad.
Tambahan pula, beliau turut memberi jaminan situasi sekitar Jalan Masjid India dan Kuala Lumpur amnya adalah terkawal serta selamat dikunjungi.

Dakwaan Kuala Lumpur berada di dalam kawasan berbahaya berpunca daripada satu tangkap layar status Facebook seorang aktivitis yang mengatakan 40 hingga 60 peratus dasar Kuala Lumpur adalah batu kapur dan pembangunan pesat tanpa saliran yang tersusun boleh menyebabkan kejadian tanah jerlus dalam skala besar lebih cepat berlaku.