Kempen pelancongan dengan menggunakan perkataan “Wonder” atau “Wonderful” sebenarnya adalah strategi pemasaran yang cukup popular di kalangan banyak negara di seluruh dunia.

Jadi, pada setiap tahun menjadi adat buat sejumlah negara melancarkan kempen pelancongan dengan terma Wonderful dalam menarik minat para pelancong dari serata dunia untuk datang melawat.

Bagaimanapun, kecoh di media sosial baru-baru ini tentang kempen pelancongan dari negara jiran iaitu Indonesia telah meletakkan gambar menara berkembar ikonik Malaysia di dalam promosinya.

Susulan itu, hantaran berkenaan yang dimuat naik oleh Kementerian Pelancongan Indonesia telah menarik perhatian netizen dan rata-ratanya dari Malaysia telah mengecam tindakan mereka yang menggunakan gambar KLCC di dalam promosi pelancongan seumpama memberi gambaran ia sebahagian daripada pembangunan negara itu.

Malah, di dalam promosi itu hanya meletakkan ‘Temui Keajaiban Indonesia di TRAVEX ATF 2025’ dengan berlatarbelakangkan ibu kota Kuala Lumpur tanpa penerangan konteks menerusinya.

Hal ini bakal memberi perspektif yang salah kepada pengguna internet di luar negara yang menyangka banguna berkembar KLCC itu milik negara Indonesia pula.

Betul ke mereka cuba claim KLCC?

Adakah mereka cuba mengakui bahawa Menara Berkember KLCC ini adalah milik Indonesia atau hanya sekadar salah faham tanpa disedari?

Rupanya ia tidak seperti yang disangkakan ramai kerana pada kapsyen hantaran itu telah mendedahkan yang kerajaan Indonesia bakal menyertai acara TRAVEX ATF 2025.

Untuk makluman, TRAVEX ATF adalah acara tahunan yang mempromosikan rantau ASEAN sebagai destinasi pelancongan yang bersatu. Ia melibatkan organisasi pelancongan, perniagaan, dan profesional dari negara-negara anggota ASEAN.

Sebagai ahli ASEAN, Indonesia bakal menghadiri acara tersebut dalam memperkenalkan lokasi-lokasi menarik yang terdapat di negaranya kepada peserta yang terlibat yang dijadualkan akan diadakan di Johor, Malaysia, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor.

Oleh itu, adalah logiknya buat Kementerian Pelancongan Indonesia menggunakan gambar KLCC memandangkan acara tersebut bakal diadakan di Malaysia bagaimanapun telah disalah tafsir oleh sebahagian netizen tempatan sehingga menjadi beremosi.