Warga kerja Klinik Kesihatan Kampung Rahmat, di Terengganu meraih pujian warganet selepas memastikan seorang anak kecil dapat tidur selesa ketika ibunya menguruskan hal perubatan.

Menerusi hantaran Facebook Syahirahh Hazwanii, ketika dia menguruskan kakak iparnya yang mengalami sakit kepala yang sangat teruk, dia meminta anak lelakinya untuk duduk di ruang menunggu.

Selepas selesai urusan kakak iparnya yang berada di zon resus, wanita itu menyambung urusan di bahagian kaunter pendaftaran.

“Hati saya tersentuh apabila melihat anak saya telah tertidur di atas kerusi rotan di ruang tersebut.

“Dalam sibuk menguruskan pendaftaran pula, saya sesekali menoleh ke arah kerusi, risau jika anak saya tergolek jatuh dari tempat duduk,” kata Syahirahh.

Apabila selesai urusan di kaunter luar, alangkah terkejutnya wanita itu apabila melihat ruangan kerusi di ruang menunggu telah dicantumkan supaya anak kecil itu tidak terjatuh dari kerusi.

“Sebaik selesai urusan di kaunter luar, saya kembali dan terkejut apabila melihat kerusi-kerusi rotan itu telah dicantumkan dengan begitu baik agar anak saya boleh tidur dengan lebih selesa dan selamat.

“Tindakan kecil ini, walaupun mungkin dianggap biasa oleh sesetengah orang, sangat menyentuh hati saya sebagai seorang ibu,” jelas si ibu itu.

Hantaran Facebook itu meraih pujian daripada netizen juga. Ada netizen perasan, selain mencantumkan kerusi, di bawah anak kecil itu juga diletakkan alas.

Syahirahh mengucapkan terima kasih kepada warga kerja KK Kampung Rahmat yang menunjukan sifat kasih sayang kepada anak kecil.

“Saya tidak tahu siapa insan yang membantu, tetapi saya yakin perbuatan itu lahir daripada keikhlasan dan hati yang penuh belas kasihan.

“Terima kasih kerana menjadi contoh kepada nilai kemanusiaan yang sebenar. Sekali lagi, saya ucapkan jutaan terima kasih kepada semua staf di KK Kg Rahmat yang bukan sahaja memberikan rawatan yang cekap, malah menyebarkan kasih sayang dan kebaikan dalam bentuk yang sangat bermakna.

“Moga Allah SWT merahmati setiap langkah kalian,” kata Syahirahh.