Pemansuhan hutang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sukar dilaksanakan kerana kerajaan ketika ini mempunyai komitmen kewangan yang begitu besar.

Menurut laporan Harian Metro, kerajaan juga perlu mengambil kira komitmen peminjam yang sudah membayar hutang berkenaan kata Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud.

“Isu PTPTN ini menjadi isu yang agak lama dan semua parti pun meletakkan dalam manifesto masing-masing, termasuk sebelah sini (kerajaan) dan juga yang di sebelah sana (pembangkang).

“Cuma dalam keadaan sekarang ini, memang untuk kita hapuskan (hutang) agak sukar dengan komitmen kerajaan yang begitu besar dan kita juga kena fikirkan, bila kita mahu hapuskan yang belum membayar, kita kena fikirkan juga yang sudah membayar itu.

“Jadi maknanya, komitmen (bayaran) jika tidak silap dalam RM76 bilion yang sudah membayar, jadi kita perlukan dana ini untuk kita buat “rolling” bagi membiayai pendidikan pelajar selepas ini,” katanya.

Di samping itu, beliau menjawab soalan tambahan Sabri Azit (PN-Jerai) sama ada kementerian merancang untuk mengkaji semula keperluan pemansuhan hutang pinjaman PTPTN secara bersasar kepada golongan miskin dan isi rumah B40 seperti yang dijanjikan sebelum ini dan tindakan yang bakal diambil kepada peminjam yang gagal melunaskan tunggakan hutang.

Tambahnya, kementerian dan PTPTN sedang bekerjasama rapat dengan Unit Pantau MADANI di bawah Kementerian Kewangan bagi mengkaji serta mencadangkan model pembiayaan baharu PTPTN yang lebih efisyen dan mampan
untuk jangka masa panjang bagi pembiayaan pendidikan tinggi negara.

Meskipun,tindakan penguatkuasaan bayaran balik pinjaman dan sekatan perjalanan kepada peminjam ingkar dihentikan sejak Jun 2018, namun PTPTN mengingatkan peminjam mengenai
tunggakan dan tanggungjawab membuat bayaran balik dari semasa ke semasa.

Beliau turut mendedahkan PTPTN menyediakan insentif tertentu bagi menggalakkan peminjam membuat bayaran balik, seperti membenarkan peminjam membuat penstrukturan semula bayaran balik pinjaman mengikut kemampuan masing-masing.