Kalau anda lahir tahun 90-an, siri filem Final Destination sedia menjadi mimpi ngeri buat semua penonton sehingga terbawa-bawa sampai hidup realiti.
Masih segar di dalam ingatan beberapa babak ikonik di dalam filem tersebut seperti wanita gimnastik terpijak paku, jambatan yang dipenuhi kereta roboh secara tiba-tiba dan kayu balak secara mengejut mengelongsor sehingga menyebabkan kematian.
Bersempena tayangan filem Final Destination 6 yang berjudul Final Destination: Bloodlines yang bakal berlangsung pada 15 Mei di Malaysia, pihak pawagam nampaknya sudah mulai giat mempromosikannya bagi menarik minat orang awam untuk datang menonton kelak.
Seorang pengguna X bernama Asshraf Mokhtsar telah berkongsi penemuan pelekat promosi filem tersebut tetapi yang menariknya berjaya membawakan elemen thrill seumpama kita berada di dalam simulasi filem tersebut.
“Jangan bersandar pada kaca”, mesej ini sudah cukup buat orang ramai merasa trauma lebih-lebih lagi berkait dengan filem tersebut.


Cukup sekadar teks dan grafik visual sudah cukup buat orang ramai terasa suspense sebaik melihatnya, ini juga secara tidak langsung memberikan pengalaman imersif buat para peminatnya.
“Kuang ajo punya marketing”, dengan gaya berseloroh pada ciapnya.
Menjengah ke ruangan komentar, netizen turut meluahkan rasa ngeri melihatnya dalam masa sama memuji akan pasukan pemasaran yang berjaya membawa idea kreatif itu dalam promosi filem terbabit.


Ada yang berpendapat iklan ini dilihat lebih efektif dalam memberi peringatan kepada orang awam dalam masa sama membuatkan orang lebih overthinking.
Filem ini berjaya membuatkan orang ramai menjadi tak keruan kerana berjaya mengaitkan senario kehidupan seharian dengan sejumlah potensi kemalangan yang boleh terjadi di sekeliling kita.