Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) mendedahkan kumpulan T20 menyumbang 85%, atau RM33.68 bilion, daripada cukai pendapatan peribadi yang dikutip tahun lepas.
Pengarah Pejabat Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, Ranjeet Kaur, berkata sejumlah RM39.26 bilion cukai pendapatan peribadi dikutip pada 2022.
Baca Juga:
- LHDN Dijangka Laksana E-Invois Mulai 1 Jun 2024
- ‘Kami Perhati Anda Semua’ – LHDN Ingatkan TikToker Dan Influencer Supaya Sukarela Isytihar Pendapatan
- LHDN Maklumkan Beberapa Sistem Pembayaran Akan Tergendala Ekoran Naik Taraf
Kumpulan M40 menyumbang 13%, atau RM5.38 bilion, kepada cukai pendapatan peribadi yang dikutip pada 2022, katanya kepada Utusan Malaysia.
Baki 2% adalah daripada pelbagai kategori.
Kutipan cukai pendapatan peribadi tahun lepas sebanyak RM39.26 bilion membentuk 19% daripada rekod RM175.4 bilion yang dikutip LHDN.
Cukai korporat menyumbang RM97.94 bilion, atau 55%, daripada keseluruhan hasil cukai LHDN tahun lepas.
Baki 26% daripada hasil cukai keseluruhan LHDN, atau RM37.8 bilion, diperoleh daripada cukai keuntungan hartanah, duti setem dan cukai ke atas koperasi.
Ranjeet berkata Bajet 2023 bertujuan untuk mengembangkan asas cukai dengan mengurangkan cukai bagi mereka dalam kumpulan M40 dan meningkatkan cukai bagi mereka dalam kumpulan T20, yang melibatkan kira-kira 150,000 pembayar cukai.
Tambah beliau lagi, kerajaan membelanjakan RM5 bilion untuk pengecualian cukai melalui pelbagai inisiatif, dengan kebanyakan pengecualian diberikan kepada perniagaan untuk merancakkan aktiviti ekonomi.
Awal bulan ini, Ketua Pegawai Eksekutif LHDN Nizom Sairi berkata agensi itu berada di landasan yang betul untuk mencapai sasaran kutipan cukai RM176.1 bilion tahun ini.
Setakat ini, katanya, agensi itu telah mengutip lebih banyak cukai kali ini berbanding tahun lepas, sambil menambah beliau yakin LHDN boleh melebihi sasaran kutipan hasilnya.