Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, menyatakan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mencatat jumlah pendapatan pelaburan RM63.48 bilion bagi penyata kewangan berakhir 31 Disember 2023 selepas penjualan beli saham Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB).

Memetik Berita Harian, saham MAHB dijual pada harga antara RM6.80 hingga RM7.70 seunit, sekali gus menghasilkan pendapatan berjumlah RM102 juta untuk agihan dividen KWSP bagi tahun kewangan 2023.

Baca Juga:

Menurutnya, prestasi saham MAHB yang mengatasi Indeks Komposit Kuala Lumpur (KLCI) sebanyak 11.47 peratus turut menjadi faktor utama strategi terbabit.

“Tuduhan KWSP mengalami kerugian daripada penjualan ini adalah tidak berasas, dan ini jelas ditolak oleh KWSP melalui kenyataan akhbarnya pada 12 Februari lalu.

“Berdasarkan kenyataan ini, jelas bahawa KWSP mencatat keuntungan daripada penjualan beli saham MAHB dan merekodkan jumlah pendapatan pelaburan RM63.48 bilion bagi penyata kewangan berakhir 31 Disember 2023.

“Ia berjaya mengisytiharkan dividen sebanyak 5.50 peratus bagi simpanan konvensional dan 5.40 peratus bagi simpanan shariah,” katanya pada waktu pertanyaan menteri (MQT) di Dewan Rakyat, hari ini.

Jumlah pendapatan daripada dagangan aktif dan pengumpulan dividen saham MAHB mencapai RM650 juta sejak 2014.

Beliau menegaskan, pengisytiharan dividen KWSP adalah mengikut prestasi sebenar pelaburan dibuat agensi itu, berdasarkan Seksyen 27 Akta KWSP 1991 (Akta 452).

Sumber