Ramai yang nampaknya dah tak sabar menanti filem Ejen Ali the Movie 2 pada 22 Mei 2025 ini.
Sementara kita menanti tarikh ini, apa kata kita throwback kembali serba sedikit scene tak dapat dilupakan dalam filem Ejen Ali The Movie. Dah sedia? Jom!
1. Mamak Maju, Servis Laju!
Siapa sangka di kedai mamak boleh ada ‘pintu rahsia’! Babak di Mamak Maju dalam Ejen Ali The Movie bukan sekadar selingan komedi tetapi menjadi antara momen paling ikonik yang menggabungkan hiburan, humor dan budaya tempatan.
Sewaktu tayangan, babak ini tular melalui perbualan di Twitter dan pernah trending menjadi No.1 di YouTube, setelah meraih lebih 20 juta tontonan!
Dalam adegan ini Ali, Alicia dan Bakar menyusup ke pangkalan rahsia di restoran 24 jam Mamak Maju. Mereka dibantu pekerja mamak iaitu Rahul, Rajesh dan Razman, yang juga ejen perisik MATA yang telah bersara dan dahulunya merupakan rakan sepasukan General Rama.
2. Pertarungan Niki Menentang Ejen-Ejen MATA
Pertempuran epik antara Niki dan ejen-ejen MATA menjadi salah satu babak aksi paling mengagumkan dalam Ejen Ali The Movie. Babak ini menampilkan animasi berkualiti tinggi yang berjaya menggerakkan perjalanan plot penuh debaran, melalui suntingan sinematografi yang dinamik dan gerakan pertarungan yang memukau.
Niki, antagonis utama filem ini, sebenarnya berasal dari keluarga miskin di Pinggiran Cyberaya dan menyimpan dendam terhadap Dato’ Othman selepas kehilangan ibu bapanya dalam kemalangan melibatkan projek milik tokoh itu. Tambahan pula, hubungan persahabatan antara Niki dan Aliya terputus setelah Aliya memilih untuk menyertai MATA yang diasaskan oleh Dato’ Othman dan membuatkan Niki rasa dikhianati.
3. Pendedahan Mengejutkan Tentang Aliya, Ibu Kepada Ali
Babak yang mendedahkan kebenaran menyayat hati tentang Aliya, ibu Ali yang sebenarnya seorang ejen elit MATA yang terkorban sewaktu menjalankan misi kritikal, telah membuat ramai penonton terpaku.
Pendedahan ini merungkai sejarah persahabatan silam antara Aliya dan Niki dan memperjelaskan motif sebenar di sebalik dendam Niki terhadap bandar Cyberaya.
4. Ejen Ali Akhirnya Menguasai Override Mode
Pertemuan penuh emosi Ali dengan ibunya, Aliya, menjadi detik penting yang mengubah segalanya. Ucapan selamat tinggal terakhir dari Aliya dilafazkan dengan alunan musik lagu Mama di Hatimu, didendangkan oleh Ida Rahayu Yusoff, yang turut menggalas watak pelakon suara Ejen Ali.
Ali kini mampu mengawal IRIS dalam Override Mode, sebuah kebolehan luar biasa yang memberi kelebihan besar dalam pertarungannya menentang Niki dan menghalang Niki untuk terus memanipulasi ejen-ejen lain sebagai senjata.
bagaimana pula dengan filem Ejen Ali The Movie 2? Pastinya akan ada babak yang tidak dapat dilupakan peminat seperti mana filem yang pertama.
Sebelum itu, anda boleh tonton dahulu Trailer terkini Ejen Ali The Movie 2. Lagi rasa tak sabar menanti filem ini keluar. Jangan lupa bawa seisi keluarga bersama ke pawagam!