Sebelum ini tular seorang lelaki memukul wanita yang merupakan isterinya sendiri di sebuah hotel di Port Dickson.

Kejadian itu berlaku selepas lelaki itu yang bekerja sebagai juruteknik tidak berpuas hati dengan isterinya yang pergi menyerbu bilik hotel tempat suaminya.

Wanita itu percaya bahawa suaminya bersama dengan wanita lain di hotel tersebut. Wanita yang masih berpantang itu dibelasah teruk oleh suaminya.

Kejadian berlaku pada 24 Mei lalu kira kira 9.50 pagi. Polis menerima laporan tentang perkara itu dan mengesahkan mamgsa mengalami kesakitan di bahagian pipi dan di beberapa lagi bahagian badan lain.

Lelaki tersebut kemudian ditahan dan dihadapkan ke mahkamah Majistret pada Selasa.

Lelaki Curang Mengaku Tidak Bersalah Pukul Isteri Yang Masih Berpantang

Tertuduh, Mohd Ridwan Mat Nasir, 37, mengaku tidak bersalah memukul isterinya yang berusia 38 tahun – selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan majistret Uthman Abd Ghani.

Ridwan didakwa mengikut Seksyen 352A Kanun Keseksaan kerana menyerang atau menggunakan kekerasan terhadap isterinya.

Jika sabit kesalahan lelaki itu berdepan dengan denda sehingga RM2,000 dan penjara 6 bulan atau kedua duanya sekali.

Polis kemudian mencadangkan ikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin untuk Ridwan sementara menunggu sebutan semula kes itu pada 23 Julai akan datang – ini untuk serahan dokumen dan lantikan peguam.

Namun menurut laporan Mstar Online, Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), A Krishnaveni memohon jaminan terhadap tertuduh dikurangkan kepada RM2,500. Ini kerana tertuduh hanya bekerja sebagai juruteknik.

Cadangan itu diterima mahkamah dan tertuduh dilarang sama sekali mengganggu mangsa sehingga kes selesai.