Seorang lelaki sanggup meredah banjir sejauh 300 meter dengan paras air melebihi satu meter, bagi memastikan 400 ekor kucing yang terperangkap di pusat perlindungan di Tok Uban selamat dan mendapat makanan.

Menurut laporan NST, pengasan rumah perlindungan tersebut iaitu Khairul Nizam Mohd Arifin berkata paras air mula naik pada Selasa lalu.

Baca Juga:

Keadaan ini memaksa Khairul Nizam untuk memindahkan sebanyak 200 ekor kucing ke atap siling dan memindahkan selebihnya ke bangunan terbiar bersebelahan, apabila air banjir di kawasan itu meningkat dengan cepat sehingga ketinggian hampir satu meter.

“Sejak paras air mula naik, saya pergi ke sana setiap hari. Memandangkan kami tidak mempunyai bot, saya terpaksa berenang sejauh 300 meter untuk memberi makan kepada kucing dan pulang ke rumah pada waktu petang.

“Selepas tiga hari, ada seorang individu yang baik hati memberikan saya sebuah bot untuk digunakan untuk sampai ke tempat perlindungan kucing,” katanya.

“Bagi memastikan keselamatan kucing itu, saya turut membuka sedikit bumbung bagi membolehkan mereka melarikan diri sekiranya paras air terus meningkat.

“Setiap hari, saya menempuh perjalanan sejauh 20km dari rumah di Kampung Gaung ke pusat perlindungan kucing bagi memastikan semua kucing selamat,” tambahnya.

Jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) telah meningkat kepada 146,611 orang berbanding 142,684 pada petang 30 November 2024.

Kelantan terus merekodkan jumlah mangsa banjir tertinggi, namun situasi bencana itu di tiga negeri membabitkan Perlis, Negeri Sembilan dan Selangor mencatat penurunan mangsa, setakat jam 8 malam semalam.

Di Kelantan, jumlah mangsa banjir yang berlindung di 285 PPS telah mencecah 93,158 orang daripada 28,830 keluarga setakat ini, berbanding 91,279.

Berdasarkan maklumat portal InfoBencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), jajahan Pasir Mas kekal mencatat jumlah mangsa banjir tertinggi dengan 27,829 orang, diikuti Tumpat (16,390), Kota Bharu (13,754), Pasir Puteh (9,466) dan Kuala Krai (6,951).

Turut terkesan ialah Bachok dengan 6,634 mangsa banjir, Machang (6,075), Tanah Merah (5,334), Jeli (737) dan Gua Musang (27).