Seorang peniaga didenda RM4,000 selepas mengaku bersalah tebang pokok yang telah berusia 50 tahun tanpa mendapatkan kebenaran daripada Majlis Bandaraya Kuantan.

Liau Hai Keong, 55, mengaku bersalah atas tuduhan tersebut ketika ia dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Wahidah Zainal Abidin pada semalam (4 Julai).

Aksi Liau yang dirakam kamera dan menjadi tular di Facebook, menunjukkan dia menebang pokok Yellow Flame (Batai Laut) yang berusia 50 tahun, seperti yang dilaporkan oleh NST.

Menurut kertas pertuduhan, Liau didakwa menebang pokok dengan diameter lebih daripada 0.8m dalam kawasan pentadbiran Majlis Bandaraya Kuantan tanpa mendapat persetujuan bertulis terlebih dahulu.

Kejadian tersebut didakwa berlaku di Bandar Indera Mahkota sekitar jam 11 pagi pada 21 April.

Selain itu, fakta kes mendedahkan bahawa Liau telah mengarahkan beberapa individu untuk menebang pokok tersebut kerana ia menghalang premis perniagaannya.

Dia didakwa di bawah Seksyen 35H Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976, yang memperuntukkan denda maksimum RM10,000, hukuman penjara sehingga tiga bulan, atau kedua-duanya sekali.

Di mahkamah, pegawai pendakwa Mohammad Nur Hafiz Ramlan yang mewakili majlis bandaraya menyatakan bahawa pokok Yellow Flame yang ditebang oleh Liau dilindungi dan majlis telah membelanjakan banyak wang untuk menjaganya.

Beliau juga menambah bahawa tindakan Liau kini telah mencacatkan pemandangan awam.

Peguam Liau, Mohd Shuhairi Ziqrul Sapi, memohon mahkamah agar mengenakan denda minimum, dengan alasan bahawa anak guamnya perlu menyara isteri dan empat anak dengan pendapatan RM2,000.

“Dia insaf dan akan lebih berhati-hati dengan tindakannya pada masa hadapan. Selain itu, dia juga telah membayar kompaun dan denda sivil yang dikenakan oleh Majlis Bandaraya Kuantan atas tindakannya,” katanya.

Liau diperintahkan untuk membayar denda RM4,000 dengan penjara dua bulan jika gagal membayar, yang mana dia membayarnya di tempat kejadian.