Kerajaan telah menetapkan hari Sabtu terakhir setiap bulan September sebagai Hari Cuci Malaysia.
Memetik Berita Harian, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, berkata penetapan hari itu yang sudah dipersetujui Jemaah Menteri dan diterajui kementeriannya di seluruh negara.
Baca Juga:
- Polis Thailand Nasihat Pelancong Malaysia Jangan Pergi Perkampungan Nelayan
- ‘Tidak Sebagus Macam Malaysia’ – Keluarga Ini Cuba Burger Five Guys Di UK Tetapi Berakhir Dengan Kekecewaan
- IKEA Malaysia Perkenalkan Bebola Daging Yang Sudah ‘Upgrade’
Hari itu diadakan bagi menangani isu pencemaran sisa dan meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai pembersihan awam.
Beliau berkata, bagi penganjuran tahun ini, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menyasar untuk menarik penyertaan 100,000 peserta, termasuk pembabitan murid sekolah melalui kerjasama dengan Kementerian Pendidikan (KPM).
“Hari Cuci Malaysia akan dilaksanakan dengan pendekatan secara menyeluruh (whole of nation) membabitkan kementerian, jabatan, agensi persekutuan, kerajaan negeri dan tempatan, institusi pendidikan serta badan swasta mengikut kesesuaian dan kapasiti masing-masing.
“Ia adalah selaras dengan inisiatif Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang menetapkan 20 September sebagai Hari Pembersihan Sedunia bagi menangani isu pencemaran sisa yang semakin meningkat dan meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai pembersihan awam,” katanya dalam satu kenyataan rasmi.
Difahamkan pelaksanaan Hari Cuci Malaysia pada tahun lepas mencatatkan tiga rekod nasional baharu dalam The Malaysia Book of Records (MBOR) selepas berjaya menarik seramai 58,007 bilangan peserta di seluruh negara.
Pelaksanaan program itu juga mengumpul kutipan sisa pepejal terbanyak dalam masa sehari iaitu 4,645.5 tan metrik dan pelaksanaan aktiviti gotong-royong paling lama iaitu selama 12 jam.