PDRM menjadi pasukan pertama yang berjaya menghalang JDT daripada mengutip mata penuh selepas mengikat juara 10 kali itu 1-1 pada aksi ketujuh saingan Liga Super 2024/25 di Stadium Majlis Perbandaran Selayang sebentar tadi.

Keputusan penting dilakarkan itu juga turut menamatkan rentetan dua kekalahan skuad kendalian P. Maniam tersebut sebelum ini ketika bertemu Kelantan United dan Kuching City.

Ia bagaimanapun masih tidak mengubah kedudukan JDT yang masih kekal ditangga teratas dengan mengumpul 19 mata.

Tambahan pula pencabar terdekat di kedudukan kedua, Selangor turut keciciran mata apabila sekadar terikat 1-1 bertemu Sri Pahang di Stadium Majlis Perbandaran Temerloh.

Kem PDRM melonjak kegembiraan pada minit ke-22 setelah Shahrel Fikri Md Fauzi tidak mensia-siakan peluang hasil hantaran lolos cantik daripada Chidi Emma Osuchukwu untuk meletakkan tuan rumah dihadapan.

Tersentak dengan jaringan tersebut, anak buah Hector Bidoglio menggandakan asakan untuk memburu jaringan tetapi peluang dimiliki Juan Muniz menerusi sepakan percuma pada minit ke-26 hanya sedikit melewati palang.

Manakala, percubaan jarak dekat dilakukannya ketika aksi memasuki minit ke-31 berjaya diselamatkan penjaga gol PDRM, Nor Hakeem Hamidun.

Kehampaam itu ditebus dua minit kemudian selepas Oscar Arribas menyamakan kedudukan menerusi percubaan leret dalam kawasan penalti.

JDT terus mencipta peluang untuk mendapatkan jaringan kemenangan tetapi jentera pertahanan PDRM dan Nor Hakeem kental bertahan untuk kedudukan 1-1 itu kekal hingga tamat permainan.