Ini adalah tulisan tentang konsep pengembaraan masa (time travel) yang digunakan dalam ‘Avengers: Endgame’. Bagi saya, konsep pengembaraan masa yang digunakan dalam filem ini memang agak ‘fresh’ kalau mahu dibandingkan dengan filem-filem ini – disebut oleh Hulk (Bruce Banner) dalam filem ini.

Amaran, tulisan ini mengandungi ‘spoiler’ walaupun dah sebut satu ‘spoiler’ di atas.

Saya akan menjelaskan konsep pengembaraan masa ini satu persatu berdasarkan babak yang akan saya senaraikan di bawah. Kemudian, saya akan menjelaskan secara keseluruhan.

1. Apakah konsep pengembaraan masa yang disebutkan oleh Ant-Man ketika permulaan plot filem?

Pada tahun 2023 – 5 tahun selepas kekalahan Avengers, Ant-Man keluar dari Dunia Kuantum. Ketika menemui Avengers, Ant-Man kata konsep masa dalam dunia kuantum amat berbeza dengan konsep masa yang mereka alami. Menurut Ant-Man, dia tidak merasakan 5 tahun telah berlalu di dunia kuantum.

Dalam mekanik kuantum, terdapat satu idea yang diusulkan oleh Bruce DeWitt dan John Wheeler dalam usaha untuk menyatukan relativiti dan mekanik kuantum.

https://www.youtube.com/watch?v=P7uT_o7iL3U

Usaha mereka telah menatijahkan tiadanya kewujudan masa (timeless or disappearance of time) dalam dunia kuantum. Sebahagian ahli fizik berkesimpulan bahawa kemungkinan apa yang kita ukur selama ini mungkin bukan masa, tetapi sesuatu yang kita panggil sebagai ‘masa’. Walau bagaimanapun, sukar sebenarnya untuk bayang secara fizikal dengan ketiadaan masa.

Tetapi Ant-Man beritahu selepas itu – lebih kurang – di dunia kuantum kita mampu pergi ke satu titik masa ke satu titik masa. Konsep ini sebenarnya pernah diusulkan oleh Stephen Hawking bagi menjelaskan konsep masa dalam mekanik kuantum iaitu masa khayalan (imaginary time).

Menurut Hawking, masa di dalam dunia kuantum dikendalikan atau dilihat seperti ruang. Dalam ruang, kita boleh ke kiri, ke kanan, ke atas dan ke bawah. Secara konvensionalnya, masa hanya boleh ke depan. Dan kita hanya mampu ke depan. Tetapi dalam dunia kuantum, masa dapat dikawal seperti ruang. Kita boleh ke depan dan ke belakang seperti yang Ant-Man sebutkan.

https://www.youtube.com/watch?v=JZGi4UZoBkM

2. Apakah yang ditemui oleh Tony Stark (Iron-Man) yang membuatkan dia mula bersetuju untuk menolong Avengers kembali ke masa lalu?

Salah satu sebab Tony Stark tidak mahu kembali ke masa lalu adalah kerana dia takut perubahan yang berlaku di masa lalu akan merisikokan kebahagian yang dia kecapi pada masa sekarang (present time). Maksudnya, akan berlakunya pecahan garis masa (splitting timeline).

Tetapi ketika dia buat simulasi untuk memastikan realiti sekarang tidak berubah atau dia terus kekal pada garis masa (timeline) asal, Stark menjumpai ‘Mobius Strip’. Sejenis lingkaran yang anda lihat dihasilkan oleh Friday.

Ketika kali pertama nampak imej ini, saya berasa agak teruja kerana ia mengingatkan saya dengan konsep topologi – konsep yang bersangkut paut dengan penyelidikan saya. Konsep matematik Mobius Strip dibangunkan oleh ahli matematik, Ferdinan Mobius.

https://www.youtube.com/watch?v=bV_nh66TVKo

Dalam bahasa mudah, konsep pengembaraan masa berasaskan Mobius Strip akan menyebabkan masa sekarang atau masa depan tidak akan berubah walaupun perubahan dilakukan di masa lalu – konsep Butterfly Effect tidak terpakai dan garis masa tidak akan berpecah (loop time travel). Lebih kurang macam filem Predestination. Apa yang diubah pada masa lepas sebenarnya telah berlaku.

Sewaktu Rhodes (War Machine) tanya pada Hulk tentang kesan pada masa kini kalau masa lepas diganggu, Hulk menafikan perkara itu terjadi. Rhodes sempat menyatakan beberapa buah filem seperti Star Trek, Terminator, Time Cop dan lain-lain yang menjadi hujahnya tentang kesan kembali ke masa lalu.

Hulk menafikan, “If you travel to the past, that past becomes your future and your former present becomes the past, which can’t now be changed by your new future.”

3. Apakah sebenarnya yang dibincangkan oleh Bruce Banner dengan The Ancient One?

Apa yang dibincangkan oleh Bruce Banner dan Ancient One adalah perpecahan garis masa (timeline splitting) seperti yang saya sebutkan tadi. “The Infinity Stones create what you experience as the flow of time. Remove one of the stones and that flow splits.” – kata Ancient One sambil membentuk jalur kegelapan, menunjukkan realiti yang baru akan penuh kegelapan tanpa Infinity Stones.

Idea yang disebut oleh Ancient One ini sangat popular dan konsep ini sebenarnya dirisaukan oleh Tony. Konsep ini pertama kali diperkenal oleh Hugh Everet III dalam menafsirkan dunia kuantum – ‘Many Worlds Interpretation’.

Menurutnya, setiap kemungkinan yang berlaku dalam dunia kuantum tidak akan hilang, malah ia berlaku melalui perpecahan banyak garis masa.

Filem ini telah menggabungkan konsep dunia selari yang banyak dan konsep ‘loop time travel’.

Untuk tidak bertambah pening, sebenarnya apa yang mereka lakukan – kembali ke masa lalu – sentiasa berlaku.

Maksudnya, hal tersebut telah pun berlaku dalam filem-filem lain. Howard Stark pernah berjumpa dengan anaknya, Thor pernah berjumpa dengan ibunya, Rocket memang pernah mencuri Aether daripada Jane dan lain-lain. Ini konsep Mobius Strip (Time Loop).

Logik atau tuntutan mereka untuk mengembalikan semula Inifinity Stones di tempat asal adalah untuk mengelakkan realiti masa kini mereka berubah – konsep ‘Many Worlds Interpretation’.

Hal ini bercanggah sedikit sebenarnya. Mereka tidak kisah menganggu sebarang peristiwa di masa lalu seperti Steve Rogers bertemu dengan dirinya, atau membuatkan Stark hampir nak mati ketika jantung digitalnya diganggu. Tetapi mereka kisah dengan gangguan mengambil Inifinity Stones di masa lalu. Sebab itu ada gabungan dua konsep pengembaraan masa itu tadi.

Antara lain paling jelas mengenai konsep ‘Many Worlds Interpretation’ adalah Nebula membunuh dirinya pada masa lalu, tetapi Nebula masa kini tidak mati – Ini sama seperti Paradoks Atuk (Grandfather Paradoks). Ini menunjukkan Nebula yang mati dibunuh datang daripada garis masa yang lain, jadi kewujudan Nebula masa kini tidak terganggu.

Bagaimana pula dengan Steve Rogers kembali ke masa lalu? Kalau kita tonton, realiti masa kini tidak berubah sewaktu Roger kembali ke masa lalu untuk hidup bersama Peggy — Rogers memilih untuk hidup di masa lampau setelah memulangkangkan semula Infinity Stones. Hal ini dapat dijelaskan sebenarnya Rogers memang pernah kembali ke masa lalu – konsep Mobius Strip.

Saya berkata begini kerana pada pendapat saya Peggy pernah berkahwin dan kita tahu hal ini. Cuma Peggy tidak pernah mendedahkan siapa suaminya. Jadi, saya beranggapan Steve adalah suaminya kerana penjelasan begini lebih ‘make sense’ untuk menjelaskan kenapa realiti masa kini tidak berubah sewaktu Steve kembali ke masa lalu untuk memulangkan Mjolnir dan Infinity Stones.

Ingat tak babak Thor pernah cuba untuk memanggil Mjolnir dalam filem Dark World? Tetapi Mjolnir tak datang. Masa ini Mjolnir telah diambil, tetapi belum dipulangkan. Saya akan tambah beberapa butiran yang lain kalau ada yang terlepas.

Pada pengamatan saya, semua filem Marvel dicipta memang khas saling berkait dan akhirnya disimpulkan dalam Endgame. Endgame dah dirancang sejak filem MCU ditayangkan. Rasanyalah.

Kesimpulannya, bagi saya, agak bercelaru apabila digabungkan dua konsep ini — ‘Many Worlds Interpretation’ & ‘Mobius Strip’. Sebab akan jadi tidak konsisten. MCU patut tetapkan satu bentuk model saja untuk pengembaraan masa supaya tidak berlaku banyak lubang plot.

Kalau anda pening kenapa itu dan ini, hal ini kerana MCU telah menggabungkan dua konsep pengembaraan masa yang saling bercanggah. Banyak paradoks dalam filem ini tidak selesai.