Kelab gergasi Eropah, Real Madrid mengumumkan Luka Modric dilantik sebagai ketua pasukan baharu bagi menggantikan Nacho Fernandez yang akan ke Arab Saudi pada jendela perpindahan musim panas nanti.

Perkembangan terkini itu disahkan koresponden Real Madrid bagi stesen radio Cadena de Ondas Populares Españolas (COPE), Miguel Angel Diaz menerusi satu ciapan di laman X miliknya.

Baca Juga:

Seperti dilaporkan sebelum ini, Nacho yang menyarung jersi Real Madrid sejak usia 10 tahun memilih untuk mengembangkan kariernya ke Al Qadsiah bagi mengharungi Saudi Pro League.

Sehubungan dengan itu, sebagai pemain paling veteran dalam pasukan sudah semestinya Modric menjadi pilihan utama Ancelotti untuk mengemudi Real Madrid pada musim hadapan.

Walaupun akan berusia 39 tahun pada September nanti dan minit permainannya semakin berkurangan kerana terpaksa merebut tempat dengan tenaga lebih muda seperti Federico Valverde, Eduardo Camavinga dan Aurelien Tchouameni​, Modric masih mampu memberikan sumbangan berkesan dalam menggerakkan jentera tengah Los Blancos.

Musim 2023/24 menyaksikan Luka Modric membuat 46 penampilan dalam semua pertandingan disertai dimana beliau menjaringkan dua gol serta mencipta enam bantuan jaringan.

Beliau akan dibantu oleh Dani Carvajal serta Lucas Vasquez, dan sekiranya ketiga-tiga ini tidak beraksi, Valverde akan menggalas tanggungjawab sebagai ketua pasukan.

Selain Nacho, Real Madrid turut kehilangan khidmat Toni Kroos yang mengambil keputusan untuk bersara daripada kancah bola sepak profesional sebaik sahaja tamat kempen Euro 2024 di Jerman.