Lulu Group iaitu sebuah rangkaian pasaraya di Malaysia akhirnya terpaksa mengucapkan selamat tinggal buat peminat tempatan selepas dimaklumkan akan berhenti operasi runcitnya di sini.

Memetik laporan The Edge Malaysia, Seorang jurucakap dari Lulu Group di Malaysia mengesahkan penutupan bahagian runcit, namun bahagian borong mereka akan terus beroperasi.

Penutupan ini berkuat kuasa pada 9 Jun 2025, dengan notis penutupan dipamerkan di pintu-pintu kedai, termasuk cawangan pertama mereka di CapSquare, Kuala Lumpur.

Ini bermakna hypermarket Lulu tidak lagi beroperasi di negara ini.

Sebelum penutupan ini, Lulu Group sebenarnya memiliki enam kedai runcit di Malaysia. Mereka mula memasuki pasaran Malaysia pada tahun 2016 dan pernah berjanji untuk melabur RM1.3 bilion bagi membuka 10 kedai dalam tempoh lima tahun.

Namun, laporan terkini menunjukkan bahawa rancangan ini tidak direalisasikan sepenuhnya untuk bahagian runcit.

Mengapa Lulu Menutup Operasi Runcitnya di Malaysia?

Antara alasan yang disebut-sebut adalah “sewa yang menjadi tidak masuk akal”, menyebabkan pihak pengurusan merasakan operasi tidak lagi berdaya maju.

Selain itu, beberapa komen juga menyatakan bahawa Lulu memilih lokasi yang kurang strategik di beberapa cawangan mereka, seperti di pusat membeli-belah yang kurang membangun.

Apa yang Tinggal di Malaysia?

Walaupun bahagian runcitnya sudah ditutup, Lulu Group masih mempunyai kehadiran di Malaysia melalui bahagian borong mereka, serta perkhidmatan Lulu Money yang menyediakan perkhidmatan pemindahan wang dan pertukaran mata wang.

Jadi, jika anda mencari Lulu Supermarket di Malaysia, mereka kini tidak lagi beroperasi sebagai kedai runcit.