Sekatan perdagangan dan ekonomi yang dilakukan oleh Amerika Syarikat terhadap China telah memaksa mereka untuk melakukan sesuatu di luar kotak dalam mencapai matlamat mereka.
Pelbagai usaha dilakukan dalam memenangi perlumbaan pembangunan AI tercanggih termasuklah menyeludup chip pemprosesan melalui Singapura dan Malaysia sehinggalah mengambil alih pekerja dari syarikat pesaing.
Memetik Amanz, empat pekerja dari sebuah syarikat pembangun teknologi AI dari China telah dibawa masuk secara rahsia sebanyak 15 cakera keras, masing-masing dengan kapasiti 80TB data, dengan tujuan melatih sistem AI dari negara asing itu menggunakan kemudahan pelayan sewaan di Kuala Lumpur.
Laporan dari Wall Street Journal mendedahkan bahawa insiden ini telah dirancang selama beberapa bulan. Bagi syarikat AI tersebut, adalah lebih pantas untuk menerbangkan cakera keras ini terus ke Malaysia berbanding menghantar data ke pelayan di sini melalui sambungan internet.
Bagaimana Ia Dilakukan?

Empat pekerja telah diterbangkan ke Malaysia untuk memudahkan proses membawa masuk cakera keras ini. Ini juga bertujuan untuk mengelakkan syak wasangka daripada pihak Imigresen Malaysia tentang mengapa terlalu banyak komponen komputer dibawa masuk ke negara ini.
Individu-individu ini kemudiannya menuju ke sebuah syarikat pusat data tempatan di mana syarikat AI dari China itu telahpun menyewa 300 mesin pelayan AI. Mesin-mesin ini dikuasakan oleh cip pemprosesan AI NVIDIA, khusus untuk tujuan melatih sistem pembelajaran mesin dan AI mereka.
Isu di Sebalik Tindakan Ini
Penyewaan mesin pelayan dan kapasiti pusat data oleh syarikat-syarikat China di Malaysia nampaknya bukanlah sesuatu yang diharamkan. Namun, isu utama di sini timbul disebabkan oleh sekatan perdagangan dan import/eksport yang dikenakan ke atas China. Tindakan ini boleh dilihat sebagai satu cara bagi syarikat tersebut untuk mengelak sekatan tersebut dan menggunakan komponen-komponen AI yang sebenarnya tidak dibenarkan untuk mereka gunakan.