Seorang pelancong Malaysia yang biasa melancong ke Thailand mendedahkan sebenarnya harga makanan di Hatyai tidaklah semurah seperti dicanang oleh pelancong Malaysia di media sosial.

Menurutnya, harga makanan di Hatyai sekarang dah mahal dan bukannya seperti dulu.

Lebih mengecewakan apabila, pelancong Malaysia yang berkunjung ke Hatyai sendiri yang memberikan promosi percuma dan ‘overclaimed’ bahawa makanan di sana jauh lebih murah.

Tindakan pelancong Malaysia yang terlalu mengagungkan harga makanan di Hatyai ini telah membantu kedai kedai makanan di sana menjadi viral dan kesannya, harga makanan pun semakin meningkat.

Dalam unggahannya di kumpulan Facebook Backpackers Buddies Malaysia (BBM), dia berkata: “Cerita pasal makanan di Siam ni murah sebenarnya bohong saja sekarang ni. Tapi kalau dulu memang betul.

“Bermula dari Danok sampailah ke Hatyai semua harga makanan dan minuman sudah dinaikkan.

“Bagi orang yang dah lama pergi ke Siam mesti tahu harga makanan kat sana dah tak murah macam dulu.

“Tetapi itu lah, orang kita yang tolong buat promosi percuma untuk Siam, maka ramailah orang berpusu pusu buat pasport semata mata nak pergi makan dekat Siam, makan dekat kedai yang viral, tak murah pun.

“Tetapi kalau nak makanan murah, kena pergi ke sebelah Pattani atau Narathiwat, memang sangat murah.”

Makanan Di Hatyai Tak Semurah Dicanang Pelancong Malaysia Yang Bagi Promosi Percuma Dan 'Overclaimed'

Komen itu mendapat sokongan daripada ramai netizen yang turut sependapat.

Salah seorang menyatakan, setelah mereka sekeluarga bercuti di Narathiwat dan Yala, mereka sudah tak pergi lagi ke Hatyai yang semakin mahal kos makanan dan kos melancong ke sana.

Yang lain menegaskan, dari segi makanan, memang tak jauh harga makanan di Hatyai dengan Malaysia, malah mungkin ada tempat di Malaysia yang jauh lebih murah kos makan, cuma dari segi kos melancong secara keseluruhannya, Hatyai masih dianggap destinasi yang berbaloi untuk melancong ke luar negara.

Seterusnya, ada juga yang berpendapat, memang berlaku kenaikan ketara pada harga makanan di Hatyai, namun kena bijak pilih tempat makan, misalannya, elakkan makan di ‘port’ viral ataupun tumpuan ramai pelancong asing.

Sumber