Data rasmi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan laporan media utama mendedahkan satu realiti yang tak selesa — pelajar sekolah dan universiti kini mencatatkan peningkatan jangkitan HIV, terutamanya melalui hubungan seksual.

Dan negeri yang mendahului carta? Selangor – dengan lebih 34.1% kes seluruh negara.

Pelajar Universiti Dan Sekolah

Menurut laporan Buletin TV3 bertarikh 26 April 2025, peningkatan mendadak kes HIV melibatkan pelajar universiti dan lepasan sekolah telah menarik perhatian pelbagai pihak.

Ramai antara mereka disahkan dijangkiti melalui hubungan seksual, bukan melalui kaedah lama seperti perkongsian jarum suntikan.

Pelajar

Sekretariat Kehormat Majlis AIDS Malaysia (MAC), Dr. Zaiton Yahaya, menjelaskan bahawa 44 peratus daripada pesakit HIV yang dikesan kini berada dalam lingkungan umur 20 hingga 29 tahun.

Ini adalah kelompok pelajar dan belia muda yang sedang mencari identiti, mencuba benda baharu — termasuk dari segi seksualiti.

Apa yang lebih membimbangkan, 4 peratus daripada kes baru melibatkan remaja bawah umur antara 13 hingga 19 tahun.

Ini bermakna, pelajar sekolah menengah turut terlibat dalam hubungan seksual tanpa perlindungan, tanpa pengetahuan, dan tanpa akses kepada maklumat kesihatan yang selamat.

Statistik AIDS Kebangsaan

Statistik rasmi dari Pendaftaran AIDS Kebangsaan 2024 menunjukkan bahawa 90 peratus kes HIV melibatkan lelaki, dan 75 peratus daripada mereka berada dalam lingkungan umur 20 hingga 39 tahun.

Selangor mencatatkan jumlah kes tertinggi dengan 1,085 kes, diikuti oleh Kuala Lumpur dan Putrajaya (365 kes) serta Sabah (344 kes).

Dari sudut etnik pula, majoriti penghidap HIV adalah Melayu (52%), diikuti Cina (14%) dan India (12.1%).

Pelajar

Menurut Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni, salah satu faktor utama peningkatan ini adalah budaya “YOLO” atau “You Only Live Once” dalam kalangan generasi muda.

Beliau menyatakan bahawa falsafah hidup tanpa batas ini mendorong remaja untuk bereksperimen dengan pelbagai bentuk hubungan intim, termasuk hubungan sesama jantina — satu bentuk tingkah laku yang didakwa menyumbang kepada peningkatan jangkitan HIV dalam kalangan lelaki.

Kata Pakar

Dalam satu ciapan yang tular, Dr. Samhan — seorang doktor dan personaliti media sosial — memberi penjelasan dari sudut perubatan mengapa hubungan seks melalui dubur (anal sex), khususnya dalam konteks homoseksual, membawa risiko jangkitan HIV yang lebih tinggi.

Menurut beliau, dubur mempunyai dinding yang lebih nipis serta kepadatan salur darah yang tinggi berbanding vagina.

Ini menjadikan ia lebih mudah mengalami kecederaan semasa hubungan seksual, sekaligus membuka pintu kepada virus seperti HIV untuk masuk ke dalam sistem darah.

Dr. Samhan juga menyentuh isu ini dari sudut agama, menyatakan bahawa larangan terhadap amalan homoseksual dalam Islam mempunyai asas biologi dan kesihatan yang jelas.

Jalan Keluar

Namun di sebalik naratif risiko, stigma dan dosa, ada usaha untuk mencari jalan keluar — secara praktikal, saintifik dan manusiawi.

Pelajar

MAC dan Yayasan AIDS Malaysia (MAF) baru-baru ini melancarkan ProtectNow Hub, sebuah platform digital pertama seumpamanya di Malaysia yang menyediakan akses kepada ubat PrEP (Pre-Exposure Prophylaxis).

ProtectNow juga membolehkan orang ramai melakukan ujian kendiri HIV secara rahsia dan selamat, serta mendapatkan sokongan kesihatan mental tanpa perlu berdepan stigma sosial.

Inisiatif ini menyasarkan golongan muda yang aktif secara seksual, namun takut untuk bercakap secara terbuka atau mendapatkan bantuan melalui saluran rasmi.