Dunia pelancongan halal semakin berkembang, dan dua negara Asia Tenggara kini mendominasi senarai destinasi terbaik untuk pelancong Muslim.
Menurut laporan Global Muslim Travel Index (GMTI) 2024, Indonesia dan Malaysia sama-sama meraih skor tertinggi sebanyak 76 mata.
Ini bermakna kedua-duanya diiktiraf sebagai destinasi terbaik bagi pelancong Muslim yang mencari pengalaman perjalanan mesra halal.
Indonesia Jadi Pencabar ke Pelancongan Halal
Dalam tempoh 10 tahun, Indonesia berjaya membuat lonjakan besar dalam sektor pelancongan muslim.
Pada tahun 2015, negara ini hanya berada di kedudukan ke-6, tetapi kini ia berkongsi kedudukan teratas bersama Malaysia.
Indonesia juga semakin dikenali sebagai destinasi pilihan bagi pelancong Muslim dari Timur Tengah, Eropah, dan Asia Selatan, yang mahu menikmati gabungan budaya, keindahan alam, dan kemudahan halal yang menyeluruh.
Malaysia: Raja Pelancongan Halal
Malaysia pula bukanlah pendatang baru dalam industri pelancongan Muslim.
Negara ini sudah mendominasi carta pelancongan halal sejak lebih sedekad lalu.
Apa kelebihan Malaysia?
Infrastruktur pelancongan halal yang mantap – Dari hotel hingga pusat beli-belah semua mesra Muslim, sistem pensijilan halal yang ketat dan dipercayai – Malaysia terkenal dengan standard halal JAKIM yang diiktiraf di peringkat global dan Keselesaan serta keselamatan pelancong – Malaysia masih dianggap sebagai destinasi paling stabil dan mesra Muslim dalam semua aspek.
Namun, dengan persaingan yang semakin sengit dari Indonesia, ramai berpandangan bahawa Malaysia perlu memperkenalkan inovasi baru dalam sektor pelancongan halal agar tidak ketinggalan.
Walaupun GMTI 2024 meletakkan Malaysia dan Indonesia di tangga yang sama, persaingan antara kedua-dua negara ini semakin sengit.
Pada akhirnya, pilihan bergantung kepada pelancong sendiri. Jika mahukan gabungan keindahan alam, budaya, dan kemesraan Muslim, Indonesia mungkin pilihan anda.
Jika mahukan keselesaan, kepelbagaian makanan halal, dan infrastruktur terbaik, Malaysia masih di hadapan.