Kejayaan skuad U23 Malaysia mara ke pusingan suku akhir kejohanan AFC U23 Championship 2018 baru-baru ini bukan sahaja meninggalkan kesan kepada jutaan peminat bola sepak negara, tetapi juga telah memudahkan lagi skuad tahun 2020 dalam pusingan kelayakan.
Selaku 8 pasukan terbaik Asia, mengikut format sebelum ini AFC akan memecahkan kepada 2 zon iaitu Asia Barat dan Asia Timur.
Jika diperhatikan, dari 8 pasukan terbaik yang layak ke pusingan suku akhir 2018, hanya 3 pasukan dari Asia Timur berada dalam kelompok ini dan Malaysia adalah salah satu daripadanya.
Akan Berada Dalam Pot 1 Kelayakan Tahun 2020
Pusingan kelayakan kejohanan AFC U23 Championship 2020 akan diadakan sekitar bulan Julai 2019 dan kejohanan utama adalah sekitar Januari 2020 seperti edisi 2018 yang lalu.
Dalam edisi 2020 nanti, kejohanan AFC U23 Championship ini juga akan bertindak sebagai pusingan kelayakan acara bola sepak Sukan Olimpik 2020. 3 pasukan teratas akan layak secara automatik ke Sukan Olimpik 2020 dengan pasukan Jepun telah layak sebagai tuan rumah.
Dalam siri kelayakan kejohanan AFC U23 Championship 2020 nanti, 5 pasukan teratas setiap zon akan berada dalam Pot 1 dari keseluruhan 4 pot undian.
Hasil dari layak ke peringkat suku akhir edisi 2018 ini, Malaysia akan berada dalam Pot 1 bersama-sama Korea Selatan, Vietnam, Jepun, dan Korea Utara. Dengan kata lain, skuad Malaysia U23 berada dalam kategori Top 5 Asia Timur.
Bagi Pot 2 Asia Timur pula akan dihuni oleh China, Australia, Thailand, Myanmar serta Hong Kong. Manakala bagi Pot 3 pula terdiri dari Indonesia, Timor Leste, Kemboja, Laos dan Singapura. Bagi Pot 4 – yang terakhir, akan terdiri dari Brunei, Mongolia, Filipina, Chinese Taipei dan Macau.
Kelebihan Untuk Skuad AFC U23 Championship 2020
Berdasarkan kedudukan pot kelayakan seperti diatas, jelas Malaysia telah berjaya mengelak sekurang-kurangnya 4 pasukan paling kuat dirantau Asia Timur berdasarkan prestasi edisi 2018.
Walaupun tidak semudah disangka, tetapi Malaysia sudah terlepas dari kemungkinan diundi dengan Korea Selatan, Jepun, Korea Utara serta Vietnam dipusingan kelayakan. Peluang untuk layak ke pusingan akhir AFC U23 Championship 2020 dilihat mungkin lebih baik walaupun masih bergantung kepada keputusan undian pusingan kelayakan nanti.