Tentera bawang merupakan satu gelaran istimewa buat keyboard warrior di Malaysia. Sudah banyak kali menjadi sensasi di mata dunia apabila berjaya membuat individu berpengaruh koyak menerusinya.

Memetik Harian Metro, Malaysia menduduki tangga kelima dunia dalam kategori buli siber.

Keputusan itu adalah hasil daripada kajian Institut Kajian Pasaran (IPSOS) yang melihat Malaysia antara negara yang merekodkan insiden buli siber tertinggi.

Bagi Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef) pula merekodkan Malaysia menduduki tangga kedua di Asia bagi kadar buli siber, sekali gus menunjukkan masalah yang semakin serius.

Pada November lalu, kerajaan dalam usaha mengkaji kewajaran mewujudkan Akta Anti Buli Siber dalam menangani gejala yang dilihat semakin membarah.

Antara kes terbaharu buli siber yang berlaku di Malaysia termasuklah apabila pelumba dari Jepun, Shinji Nakano menerima tempias ‘tentera bawang’ negara ini selepas terbabit dalam satu insiden perlanggaran dengan pelumba daripada Malaysia, Shah Firdaus Sahrom ketika temasya Olimpik di Paris.

Akibat daripada insiden itu, ribuan ‘tentera bawang’ daripada pengguna media sosial negara telah membanjiri ruangan komen atlet Jepun berkenaan.

Sehinggakan dia terpaksa membuat hantaran khas untuk memohon maaf secara peribadi dalam masa sama meminta tentera bawang untuk tidak menyerang keluarganya.

Perkara sama berlaku kepada pelumba berbasikal trek Britain, Jack Carlin di Olimpik Tokyo 2020 apabila dikatakan turut menghimpit Shah Firdaus sehingga menyaksikan perlumbaan saringan kedua acara keirin terpaksa dimulakan semula.

Insiden sama turut berlaku beberapa tahun sebelum ini apabila atlet paralimpik negara, Muhammad Ziyad Zolkefli dinafikan pingat emas selepas atlet para lontar peluru Ukraine, Maksym Koval mengemukakan protes.

Kesannya, ‘tentera bawang’ negara ini menyerang laman sosial Koval sehingga memaksanya menutup akaun sedia ada dan membuka akaun media sosial baharu susulan insiden itu.