Menteri Kesihatan Indonesia, Budi Gunadi Sadikin, baru-baru ini mendedahkan di forum kesihatan Asia Pasifik bahawa Indonesia memerlukan sekitar US$84 bilion, atau kira-kira RM355 bilion untuk mencapai tahap kualiti sistem kesihatan Malaysia, lapor Tempo.

Dalam ucapan beliau semasa 2025 APAC Health and Life Sciences Summit yang berlangsung di Jakarta, Budi menyatakan bahawa perbelanjaan sektor kesihatan Indonesia sedang meningkat dengan kadar yang jauh lebih laju berbanding pertumbuhan ekonomi negara tersebut.

Indonesia

Beliau mengibaratkan situasi ini seperti sebuah keluarga yang perbelanjaannya naik 50 peratus, sedangkan pendapatan hanya naik 8 peratus, “Ini jelas tak seimbang,” kata beliau.

Apa Penyelesaian Kepada Indonesia?

Jadi, apa penyelesaiannya? Budi tidak melihat jawapan dalam penambahan bajet semata-mata, tetapi lebih kepada transformasi teknologi kesihatan.

Menurut beliau, pelaburan dalam teknologi moden bukan sahaja mampu meningkatkan kualiti rawatan, tetapi juga boleh menjimatkan wang negara dalam jangka masa panjang.

Indonesia

Antara contoh teknologi yang diketengahkan ialah PCSK9 inhibitor, sejenis ubat kolesterol generasi baru yang hanya perlu disuntik sekali, tetapi mampu menurunkan paras kolesterol dengan sangat berkesan.

Ubat ini bakal digunakan di 500 hospital di seluruh Indonesia.

“Lebih efisien berbanding ubat tradisional yang perlu diambil setiap hari dan mahal,” katanya.

Indonesia

Selain itu, Budi turut menyebut tentang potensi besar bedah robotik dan kecerdasan buatan (AI) dalam sistem kesihatan.

Teknologi ini dikatakan mampu mempercepatkan proses diagnosis, memendekkan masa pembedahan, dan mengurangkan tempoh rawatan di hospital.

Semua ini boleh menurunkan kos rawatan dan dalam masa yang sama meningkatkan tahap penjagaan pesakit.