Berita baik buat arena sukan permotoran tempatan, Persekutuan Automobil Antarabangsa (Fédération Internationale de l’Automobile/FIA) telah memilih Malaysia sebagai tuan rumah untuk acara FIA Karting ‘Arrive and Drive’ World Cup.

Menerusi satu kenyataan rasmi, Majlis Sukan Permotoran Dunia telah meluluskan butiran dan peraturan teknikal bagi Piala Dunia Karting FIA ‘Arrive and Drive’ yang julung kali akan dianjurkan.

Baca Juga:

Acara itu akan berlangsung dari 14 hingga 16 November 2025 di Litar Antarabangsa LYL, Sungai Long, Cheras, Selangor.

Malaysia jadi tuan rumah pertama acara perlumbaan baharu itu
FIA Pilih Malaysia Jadi Tuan Rumah Perlumbaan Karting Akar Umbi Pertama Di Dunia
Sumber Gambar: Facebook FIA

Acara seumpamanya yang pertama ini bakal menjadi satu pencapaian penting dalam pelaksanaan Pelan Karting Global FIA, yang telah dilancarkan pada Disember 2024.

Pelan ini bertujuan untuk memperluaskan akses kepada sukan permotoran peringkat akar umbi, serta memperluas laluan bakat di peringkat global.

Pada masa sama ia turut menyumbang kepada matlamat lebih besar FIA untuk menggandakan penyertaan dalam sukan permotoran di seluruh dunia.

FIA Pilih Malaysia Jadi Tuan Rumah Perlumbaan Karting Akar Umbi Pertama Di Dunia
Sumber Gambar: Facebook LYL International Karting Circuit

Pertandingan baharu ini akan menggunakan format ‘Arrive and Drive’ yang menjimatkan kos serta menggunakan peralatan yang dihomologasi atau diluluskan oleh CIK-FIA.

Direka untuk merendahkan halangan kewangan dan memastikan kesamarataan teknikal, pendekatan yang inklusif ini membolehkan pemandu berbakat yang mungkin tidak mempunyai kemampuan kewangan untuk turut menyertai pertandingan karting antarabangsa tradisional.

Bagi memastikan penyertaan antarabangsa yang meluas, pendaftaran akan dibuka secara eksklusif kepada Pihak Berkuasa Sukan Kebangsaan (ASN) pada peringkat awal, di mana setiap ASN berhak untuk mencalonkan seorang pemandu.

Selaras dengan objektif pertandingan untuk menonjolkan dan menyokong bakat baharu, pemandu yang mempunyai pengalaman terdahulu dalam Kejohanan dan Piala Karting FIA tidak akan layak untuk menyertainya.

Namun begitu, mereka yang pernah bertanding dalam Trofi Akademi Karting FIA dibenarkan untuk memohon.

FIA Pilih Malaysia Jadi Tuan Rumah Perlumbaan Karting Akar Umbi Pertama Di Dunia
Sumber Gambar: Facebook LYL International Karting Circuit

Acara ini akan merangkumi dua kategori: Junior (12–14 tahun) Senior (14–19 tahun), dengan had maksimum 54 orang pemandu bagi setiap kategori.

Tiga pemandu terbaik dalam setiap kategori akan melayakkan diri ke pusingan pemilihan Pusat Kecemerlangan Karting FIA, bersama tiga pemandu terbaik daripada Kejohanan Karting FIA yang lain.

Pemenang kategori Senior akan menerima biasiswa berprestij bagi menyokong kemaraan mereka ke FIA Formula 4, manakala pemenang kategori Junior akan menerima sumbangan bajet untuk musim seterusnya dalam Kejohanan Karting FIA.

“Pelan Karting Global telah pun mula membawa perubahan dan pembangunan sebenar dalam landskap karting. Apabila kami meneliti cara untuk menjadikan sukan ini lebih mudah diakses di seluruh dunia, konsep arrive and drive dengan spesifikasi tunggal ternyata sangat masuk akal untuk digandingkan bersama struktur sedia ada Kejohanan FIA.

“Kami sedang mempromosikan laluan pembangunan selari bagi para pemandu melalui format arrive and drive dengan spesifikasi tunggal ini, dan penubuhan Piala Dunia yang telah diluluskan oleh Majlis Dunia hari ini merupakan satu komponen yang sangat penting dalam keseluruhan usaha ini,” kata Presiden Suruhanjaya Karting FIA (CIK), Akbar Ebrahim.

Litar Antarabangsa LYL, diiktiraf litar kart terpanjang Malaysia
FIA Pilih Malaysia Jadi Tuan Rumah Perlumbaan Karting Akar Umbi Pertama Di Dunia
Sumber Gambar: Facebook Malaysia Book of Records

Litar Antarabangsa LYL merupakan sebuah fasiliti perlumbaan bertaraf dunia yang terletak di Malaysia, direka khas untuk memenuhi piawaian tinggi sukan permotoran antarabangsa.

Litar ini bukan sahaja menawarkan trek karting yang teknikal dan mencabar, malah dilengkapi dengan kemudahan moden seperti paddock profesional, ruang pemerhatian, pusat teknikal, dan sistem keselamatan terkini.

Ia dibina untuk menyokong perkembangan bakat tempatan dan antarabangsa dalam sukan karting serta menjadi tuan rumah kepada acara-acara berprestij.

Malaysia Book of Records turut mengiktiraf Litar Antarabangsa LYL sebagai litar go-kart terpanjang di Malaysia — miliki sembilan selekoh kiri dan enam selekoh kanan pada trek sepanjang 1.5 kilometer.