Pertembungan sesama sendiri dalam acara beregu lelaki pada aksi final Kejohanan Malaysia Masters 2025 di Axiata Arena, Bukit Jalil menjadi milik Man Wei Chong-Tee Kai Wun.

Kejayaan itu menamatkan penantian selama 12 tahun negara untuk mengungguli acara beregu lelaki selepas kali terakhir Goh V Shem-Lim Khim Wah memenanginya pada edisi 2013.

Baca Juga:

Walaupun ia merupakan aksi ‘All-Malaysian’, tetapi corak permainan ditampilkan kedua-dua pasangan cukup menghiburkan sepanjang perlawanan.

Wei Chong-Kai Wun bermula dengan cukup garang hingga memaksa Aaron dan Wooi Yik melakukan kesilapan mudah untuk mendahului 6-1 pada awal permainan.

Cubaan Aaron-Wooi Yik untuk bangkit segera dipatahkan pasangan ranking kelapan dunia itu bagi menamatkan set pertama dengan kemenangan 21-12.

Tee Kai Wun
Kredit Foto: NSTP/ASWADI ALIAS

Tersentak dengan kekalahan itu, Aaron-Wooi Yik yang sudah menjuarai Kejohanan Asia dan Terbuka Thailand 2025 tampil dengan aksi lebih baik.

Ia nyata membuahkan hasil dengan kemenangan 21-15 dicatatkan untuk mengheret aksi ke set penentuan.

Set ketiga menyaksikan Wei Chong dan Kai Wun kembali mendapat momentum terbaik yang akhirnya mengesahkan kejuaraan dengan kemenangan 21-16.

Kejuaraan Kedua Tahun 2025 Buat Man Wei Chong-Tee Kai Wun

Dengan kejayaan ini, Wei Chong-Kai Wun meraih hadiah wang tunai bernilai $37,525 (RM158,749.93) manakala selaku naib juara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik menerima $18,050 (RM76,360.72).

Kejuaraan Malaysia Masters menjadi kejuaraan kedua buat Man Wei Chong-Tee Kai Wun pada tahun 2025 dimana sebelum ini mereka mengungguli Indonesia Masters yang turut berstatus Super 500.