Baru-baru ini, tular sebuah klip video yang berkisarkan tentang satu panggilan yang dibuat ketika siaran langsung BrosgangTV membuat pendedahan yang dia telah dijadikan sebagai perempuan simpanan oleh ah long untuk menyelesaikan hutang ayahnya.
Bagaimanapun, dakwaan terbabit didapati tidak benar sama sekali kerana tidak pernah berlaku, malah wanita itu mengakui ia hanyalah direka untuk meluahkan perasaan lapor Harian Metro.
Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Hamzah Ahmad berkata, semakan mendapati hos yang mengendalikan wawancara itu turut membuat satu laporan polis berkaitan panggilan terbabit.
Katanya, mangsa kemudian dikesan pada jam 10.50 malam tadi dan ditemukan selamat di sebuah rumah di Seberang Perai Utara.
“Siasatan mendapati wanita itu menghubungi wawancara di TikTok berkenaan pada 26 Julai lalu.
“Dia turut mengakui membuat pinjaman wang dengan beberapa syarikat pemberi pinjaman wang dan menerima ugutan kerana gagal membayar hutang.
“Ibu mangsa yang berada di kampung juga turut menerima ugutan,” katanya dalam kenyataan media di sini, semalam.
Hamzah berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Polis menasihati orang ramai supaya tidak mudah percaya dan menyebar sesuatu di media sosial tanpa buat semakan kesahihannya.
“Orang ramai yang diganggu atau menerima ugutan daripada along juga dinasihati supaya membuat laporan polis bagi tindakan lanjut,” katanya.