Pemain bintang skuad kebangsaan Indonesia, Marselino Ferdinan sah menyertai kelab yang beraksi di liga divisyen dua bola sepak England iaitu Oxford United.

Perkara ini diumumkan oleh pihak kelab menerusi laman media sosial resmi pasukan dimana Marselino menyertai Oxford selepas bergelar sebagai ejen bebas.

Baca Juga:

“Oxford United dengan bangga mengumumkan kedatangan pemain baharu yang diminati ramai dan berpotensi iaitu Marselino Ferdinan.

“Marselino memegang rekod sebagai penjaring gol termuda bagi Indonesia dan tahun ini, beliau muncul sebagai pemain termuda yang menjaringkan gol di peringkat akhir Piala Asia,” tulis kelab itu dalam kenyataan yang dikeluarkan.

Sebelum ini, pemain berusia 19 tahun itu beraksi bersama kelab Belgium iaitu Deinze sehingga hujung musim 2023/24 sebelum dilepaskan oleh kelab itu.

Marselino sudah mencatat 26 penampilan dan tiga gol bersama skuad senior garuda dan pernah membantu pasukan itu memenangi pingat emas dalam acara bola sepak temasya Sukan SEA 2023.

Ketua operasi bola sepak Oxford United iaitu Ed Waldron menyambut baik kehadiran pemain muda itu dalam pasukan Oxford musim ini.

“Marselino adalah seorang pemain muda yang mempunyai potensi dan kami tidak sabar untuk melihat beliau berkembang di Oxford.

“Kelab ini mempunyai hubungan yang baik dengan Indonesia dan menarik untuk kita saksikan bagaimana beliau beradaptasi dengsn kehidupan di sini.

“Kami mempunyai persekitaran yang baik di pusat latihan dan kami merasa ini peluang yang tepat untuk Marselino menguji kemampuan dan berkembang bersama pengalaman yang bakal beliau peroleh bersama kami,” katanya.

Oxford United dimiliki oleh Ketua Umum Persatuan Bola Sepak Seluruh Indonesia (PSSI) iaitu Erick Thohir dan ahli perniagaan, Anindya Bakrie.