Penggambaran filem Thunderbolts daripada Marvel Studios semakin mendapat sambutan peminat, terutama selepas rakaman belakang tabir (BTS) terbaharu didedahkan menunjukkan aksi berani Florence Pugh di salah satu pencakar langit tertinggi di dunia – Menara Merdeka 118 di Kuala Lumpur.

Rakaman Marvel ini mendedahkan usaha gigih pasukan produksi dan pelakon untuk memberikan adegan filem yang lebih mendebarkan dan penuh kejutan.

Adegan Pembukaan Marvel Thunderbolts Penuh Drama

Menurut rakaman BTS Marvel tersebut, pengarah Jake Schreiber bertanya kepada Florence Pugh, “Kau suka ketinggian?” dan dengan penuh semangat, pelakon yang memegang watak Yelena Belova itu menjawab, “Aku suka ketinggian!”

Marvel

Idea asal pasukan produksi adalah untuk memberikan kesan lebih dramatik pada permulaan filem, dan mereka memilih Kuala Lumpur sebagai lokasi kerana Menara Merdeka 118 merupakan bangunan kedua tertinggi di dunia.

Namun, Disney’s Health and Safety akhirnya tidak membenarkan adegan sebenar dirakam di ketinggian sebenar kerana risiko yang terlalu tinggi.

Walaupun begitu, Florence Pugh dan pasukan aksi tetap berjaya mencipta ilusi sempurna menggunakan rig khas yang dibina oleh pasukan stunt terbaik.

“Kami Letak Florence di Tepi Bangunan – Disney Kata ‘Tidak’”

Jake Schreiber berkongsi, “Kami benar-benar mahu letak Florence di tepi bangunan, tapi Disney Health and Safety kata ‘tidak’ – dan itu keputusan yang bijak.”

Walaupun adegan sebenar di ketinggian tidak berlaku, pasukan produksi menggunakan teknologi canggih dan rig khusus untuk mensimulasikan aksi terjun dari tingkat ke-120.

Marvel

Florence Pugh sendiri sangat teruja dengan projek ini sejak mula membaca skrip.

Aksi Letupan & Lompatan

Selain adegan terjun dari bangunan, pasukan produksi juga merakam adegan letupan besar di sebuah jalan di Kuala Lumpur.

“Kami rakam Florence terjun dari bangunan pada waktu pagi, kemudian petangnya kami letupkan seluruh tingkat bangunan,” kata salah seorang kru sambil ketawa.

Marvel

Pengarah dan pasukannya mengakui bahawa hari penggambaran itu adalah antara yang paling epik dalam kerjaya mereka.

“Kamu sedar tak, kita mungkin takkan dapat hari seperti ini lagi dalam hidup kita?” kata salah seorang anggota produksi dalam rakaman itu.