Baru-baru ini tular rakaman video di mana sebuah masjid menyiar kuliah agama menggunakan pembesar suara sehingga menggangu penduduk kawasan setempat.
Hal itu telah sampai ke pengetahuan pihak Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).
Menurutnya, pihak berkuasa terlibat perlu meneliti secara berhemah dan tanpa menimbulkan ketidakselesaan masyarakat berhubung dakwaan isu tersebut, lapor Utusan Malaysia.
Timbalan Menterinya, Dr. Zulkifli Hasan berkata, pihaknya mempunyai beberapa agensi berkaitan yang boleh memberi panduan termasuk penggunaan pembesar suara di masjid.
Adakah aku perlu dengar ceramah kuat-kuat pasal Ina Naim kena ambik? Honestly aku buntu.
Dah 8 aduan buat dekat Jawi sampai Jawi pun kata banyak kali dah tegur. 1 aduan buat dekat Mindef. Masih tak jalan-jalan. pic.twitter.com/UoVYdFptjG
— Giudice (@island_purr) December 5, 2024
“Nanti kita siasat dan semak. Benda (isu) ni, sudah ada pihak autoriti yang ada jentera untuk lakukan (ambil) tindakan. Kita sudah ada rangka kerja dan bidang kuasa tersebut.
“Kita tak mahu ada apa-apa isu yang mengganggu gugat ketenteraman, insya-Allah kita secara berhikmah, sebaik mungkin tangani tanpa menerbitkan satu ketidakselesaan masyarakat,” katanya ketika ditemui ketika Program Madani Prihatin di Sekolah Rendah Islam Al-Amin baru-baru ini, petik Utusan Malaysia.
Terdahulu, seorang pengguna X.com meluahkan rasa tidak puas hati apabila sebuah masjid berhampiran rumahnya terletak di Keramat, Kuala Lumpur yang sering menyiarkan kuliah agama terlalu kuat melalui pembesar suara.
Menurutnya, sejak awal tahun lepas lagi dia sudah buat aduan guna saluran yang betul. Namun, hanya 2-3 minggu sahaja bertahan. Kemudian, masjid tersebut kembali menyiarkan kuliah agama terlalu kuat melalui pembesar suara.