Siri animasi tempatan Mechamato akan menjadi animasi Malaysia pertama yang ditayangkan di stesen TV Jepun, TOKYO MX.

Monsta atau dahulunya dikenali sebagai Anomonsta Studios berkata bahawa Mechamato akan disiarkan di saluran itu pada pukul 6.30 petang setiap Jumaat, bermula dari 6 Oktober.

Siri popular itu akan diedarkan oleh TVer, perkhidmatan video atas permintaan (VOD) dengan lima penyiar komersial di Tokyo iaitu Nippon TV, TV Asahi, TBS Television, TV Tokyo dan Fuji Television.

Pengarah pemasaran Monsta Faiz Zainal Aabidin berkata antara syarat yang membenarkan rancangan antarabangsa disiarkan di saluran TV Jepun ialah siri animasi itu mesti mendedahkan dan mendidik penonton kepada budaya dan tradisi yang berbeza.

Sebelum ini, siri Mechamato disiarkan di Jepun melalui aplikasi dalam talian seperti Netflix, HBO Go, Amazon Prime, Hulu, dAnimeStore, J:Com, dan FOD. Bulan depan, siri animasi ini juga akan disiarkan di Saluran Bandai.

Siri animasi yang pernah mendapat Anugerah Peminat Anime di Festival Anugerah Anime Tokyo 2023 (TAAF) pada Mac lalu ini juga akan mendapat sentuhan pelakon dari Jepun untuk mengalih suara.

Selain itu, laman web e-dagang TOKYO MX Mall juga akan menjual mainan FGURA Mechamato.

Sumber